Saya kesal dengan sikap dan cara negara ini dipimpin tatkala rakyat berbilang kaum sedang dirundung malapetaka banjir setelah hujan lebat berterusan selama beberapa hari pada hujung minggu yang lalu.
Setakat hari ini, 17 mangsa telah dilaporkan maut di Selangor dan 8 mangsa di Pahang, manakala lebih 60,000 lagi kehilangan tempat tinggal tanpa ada tanda-tanda jelas berhubung keadaan rumah dan tahap kelangsungan hidup seusai banjir surut.
Kelemahan-kelemahan utama berhubung tahap kesiapsiagaan negara dalam menghadapi bencana kini terpampang jelas.
Tindakan lembab dari kerajaan persekutuan terutamanya Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) ditambah pula dengan penyelerasan yang kucar kacir dengan pihak kerajaan serta dengan agensi-agensi tempatan ternyata merumitkan krisis ini kepada rakyat dan menjadikan ia satu malapetaka tadbir urus juga.
Kelewatan dalam menggerakkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah memungkinkan beberapa pegawai untuk bertindak dengan inisiatif sendiri dalam membantu warga yang terkesan.
Penyelerasan yang lemah antara pasukan sukarelawan dan angkatan tentera hanya menambah kekeliruan dan kekecewaan.
Krisis ini adalah mimpi buruk yang nyata kepada Perdana Menteri tatkala malapetaka tadbir urus ini melatari 100 hari pentadbirannya. Kegagalan demi kegagalan dalam mengurus bencana ini hanya menonjolkan tahap keupayaan sebenar kerajaan yang dikemudi beliau.
Kerajaan dan pimpinan yang gagal menonjolkan kebersamaan dengan rakyat sedari awal bencana ini, tidak akan mampu memberi keyakinan kepada kita semua bahawa mereka juga mampu melonjakkan negara ke arah pemulihan dari musibah ini, termasuk masalah wabak yang masih mengganas.
Saya kagum dengan semangat kekeluargaan sebenar yang telah ditonjolkan rakyat berbilang kaum tatkala pemimpin-pemimpin utama kerajaan sibuk bermesyuarat.
Sewaktu saya turun mengagihkan bantuan kepada rakyat yang terkandas, saya turut mendengar dan menyaksikan sendiri babak-babak yang luarbiasa yang memaparkan sikap belas dan keprihatinan yang tinggi.
Saya turut berkongsi kekecewaan mereka berhubung kelemahan kerajaan dalam krisis ini.
Perubahan iklim dan tahap kesedaran kita yang lemah terhadap peranan dan kepentingan alam sekitar akan menyaksikan peningkatan yang amat dahsyat terutamanya dalam aspek keberlakuan bencana alam di masa hadapan.
Kita tidak mampu untuk memikir dan menyiasat apa yang menjadi punca kelemahan kita hujung minggu yang lalu.
Perdana Menteri sekarang ini mesti ambil tindakan untuk segera menubuhkan jawatankuasa diraja termasuk jawatankuasa Parlimen dalam menambahbaik tahap kesiapsiagaan bencana.
Dalam masa yang sama, kerajaan dituntut untuk membantu rakyat mendapatkan semula rumah mereka yang dibadai banjir dan tidak memandang remeh soal pemulihan sesudah banjir.
Kerajaan mesti punyai sikap ketelusan dan kebertanggungjawaban yang tinggi kepada orang ramai dan mesti mengadakan sidang media harian bagi mengemaskini situasi semasa banjir dan langkah menyelamat.
Saya juga ingin mendesak kerajaan persekutuan untuk membetulkan ketempangan dalam Majlis Keselamatan Negeri Selangor di mana Menteri Besar mesti dikembalikan kuasa dan peranannya dalam mengemudi krisis ini.
Saya juga ingin mengucapkan tahniah atas pelbagai inisiatif dan peruntukan bantuan RM100 juta yang telah digerakkan Kerajaan Negeri Selangor kepada mangsa-mangsa banjir.
ANWAR IBRAHIM
Ketua Pembangkang/Pengerusi PH.
21 Disember 2021.