Rakyat sebar #BantuanBanjir selepas geram kerajaan lembap bantu mangsa banjir

 


Tidak hanya mengecam menteri dan kerajaan pimpinan Ismail Sabri yang lembap membantu mangsa banjir, rakyat dalam masa sama sepakat menyebarkan pertolongan melalui tanda pagar #BantuanBanjir

Tanda pagar #BantuanBanjir menjadi sohor dalam kalangan pengguna Twitter dengan lebih 4,000 ciapan tengah malam ini.

Warganet dilihat menggunakan tanda pagar itu untuk menyebarkan maklumat berkaitan bantuan kepada mangsa banjir besar yang melanda negara.

Info tersebut terdiri daripada individu dan pertubuhan malah rumah ibadat yang menawarkan pelbagai bentuk sumbangan.

Antaranya, perkhidmatan membaiki laptop selain pembersihan peralatan rumah dan masjid meliputi kawasan Lembah Klang dan Kuantan, Pahang.

Terdapat juga pemilik kedai perabot terpakai yang menawarkan barangan mereka untuk diambil oleh mangsa banjir.

“Bagi yang betul-betul memerlukan, sebarkan ini juga… tuan kedai benarkan,” kata @dina_mael.

Turut dikongsikan warganet berkenaan Masjid Al-Falah di USJ 9, Subang Jaya di Selangor yang memberitahu mangsa banjir boleh mendapatkan bantuan lampin pakai buang bayi.

Dalam masa sama, Twitter rasmi Gurdwara Sahib Petaling Jaya malam tadi pula berkongsikan rakaman video berdurasi 14 saat berkenaan lori yang mengangkut tilam untuk mangsa banjir.

Menerusi @gurdwarasahibpj, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang memberikan sumbangan tersebut untuk diagih kepada mereka yang memerlukan.

 

No comments: