Perbalahan antara agensi
Kerajaan Persekutuan, khususnya Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang
menolak untuk dipertanggungjawabkan kerana kelemahan menguruskan banjir di
Selangor memerlukan satu suruhanjaya sisatan bagi memastikan peranan semua
agensi yang terlibat dalam bencana alam.
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perincian itu penting agar memudahkan koordinasi dan keputusan yang dibuat sekiranya negara menghadapi sekali lagi bencana alam seburuk banjir besar 17 - 21 Disember lalu.
Katanya, pengurusan bantuan yang tidak teratur dan proses evakuasi yang lambat hanya menimbulkan rasa kecewa mangsa dan kritikan berleluasa terhadap kerajaan.
"Sebab itu, saya katakan harus ada suruhanjaya teliti semula seluruh dasar peranan dan tindakan (yang) diambil supaya kita tidak berulang (kegagalan) dalam hal ini.
"Banjir ini bukan perkara baharu di Malaysia, saya masih ingat saya (menjadi) Pengerusi (urus bencana) semasa saya Timbalan Perdana Menteri menangani masalah ini pada tahun 1995 ketika banjir, dan malam itu juga Mesyuarat Khas, malam itu buat keputusan, malam itu kerah tentera, turun malam itu jugak, dalam berapa jam tentera boleh lakukan
“(Namun kerajaan Persekutuan sekarang) ini tidak, sehari, dua hari dan kemudian tidak ada pengarahan yang jelas,” katanya dipetik ketika ucapan perasmian Majlis Pemantapan Pilihanraya KEADILAN Kedah, semalam.
Pada masa sama Anwar yang telah melawat banyak tempat dan menemui mangsa mangsa banjir di Selangor serta Negeri Sembilan berkata, kesalahan tidak boleh diletakkan kepada pihak Bomba dan Penyelamat Malaysia atau Angkatan Tentera Malaysia kerana lewat bertindak
Sebaliknya, kata beliau, kelewatan tersebut akibat tiada arahan yang jelas dalam tempoh 48 jam pertama kejadian banjir yang menyebabkan respons kepada kejadian tidak sepantas diharapkan rakyat.
Selepas lawatan ke Kedah, Anwar juga meluangkan masa melawat penduduk di Permatang Pauh, Parlimen (gambar atas) kampung kelahiran beliau.
Di sana beliau sempat beramah mesra dan meluangkan masa bersama keluarga dan teman-teman lama sebelum pulang ke ibu negara.