Banjir luar jangka yang berlaku di beberapa kawasan di Selangor serta negeri-negeri lain boleh dikata sudah surut sepenuhnya sekarang ini.
Hanya tinggal beberapa kawasan di Pahang yang masih belum surut, tetapi di negeri tersebut, banjir yang berlaku ketika ini tidaklah begitu memeranjatkan kerana ia merupakan bencana ulangan yang berlaku hampir setiap tahun.
Cuma, banjir yang berlaku ini keadaannya sedikit luar biasa dengan beberapa kawasan penempatan turut ditenggelami air yang agak dalam berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Berbeza dengan Selangor, terutama di Shah Alam dan Hulu Langat, selain banjirnya kali ini begitu luar biasa dengan banyak rumah yang musnah, hanyut, tenggelam dan hanya nampak bumbung, banjir yang menimpa kali ini juga adalah yang terburuk sekali.
Setelah seminggu berlalu, tumpuan ketika ini ialah operasi membersihkan rumah dan kawasan persekitaran kesan daripada bencana tersebut
Tetapi, sebagaimana kita semua sedia maklum, banjir kali ini turut sama memusnahkan banyak kenderaan, malah ada yang hilang dan dihanyutkan entah ke mana.
Bagi rumah yang tenggelam dan dipenuhi air selama hampir seminggu lamanya, pasti akan berdepan dengan dinding yang rosak, perabot, peralatan letrik, pakaian serta pelbagai barangan keperluan lain yang turut musnah juga.
Untuk itu, selain melakukan kerja-kerja membersih lumpur yang tentunya rumit dan meletihkan, persoalan utama di kalangan mangsa banjir kali ini ialah bagaimana untuk memulakan kehidupan dan mengganti segala barangan yang musnah itu.
Ketika ini, bantuan makanan dan keperluan ringan lain rasanya sudah begitu banyak disumbangkan oleh pelbagai pihak.
Malah di pusat-pusat penempatan sementara juga kelihatan pelbagai pihak swasta dan NGO turut menyumbangkan makanan, selimut, keperluan untuk wanita, bayi dan sebagainya.
Pendeknya, bantuan untuk mangsa banjir dari segi makan minum serta keperluan ringan lainnya boleh dikata tidak menjadi masalah lagi.
Tambahan lagi, kerajaan pusat juga memberikan bantuan segera RM1000 kepada setiap mangsa yang terlibat dengan banjir kali ini.
Kerajaan negeri Selangor juga menyumbang bantuan segera sebanyak RM1000 kepada mangsa-mangsa banjir.
Namun, siapa mahu membantu mangsa banjir dari segi membaiki rumah, mengganti perabot dan peralatan kediaman lainnya supaya mereka selepas ini dapat bernafas dengan selesa meneruskan kehidupan?
Dalam hal ini, adalah dicadangkan kerajaan pusat pimpinan Ismail Sabri Yaakob yang berjenama Keluarga Malaysia dapat memikirkan untuk memberi bantuan kewangan sekurang-kurangnya RM10 ribu kepada setiap rumah yang terlibat dengan banjir.
Walaupun jumlah RM10 ribu tidaklah mencukupi, ia sekurang-kurangnya dapat digunakan untuk membaiki segala kerosakan, membeli perabot dan mengganti barangan yang telah musnah akibat banjir.
Bagi mereka yang rumahnya musnah atau hanyut, kerajaan mesti menyediakan peruntukan untuk membinanya semula.
Mungkin kalau dikira dengan banyaknya rumah yang tenggelam, bantuan RM10 ribu itu akan menjadikan jumlah keseluruhannya terlalu besar dan membebankan kewangan kerajaan.
Tetapi, Ismail Sabri tidak harus terlalu berkira dalam hal ini dan sedarlah apa yang sangat-sangat diperlukan oleh mangsa banjir selepas air surut ialah “kepala harimau” bagi memulihkan semula kehidupan mereka sekeluarga.
Dibandingkan dengan membayar gaji RM60 hingga RM80 ribu setiap bulan kepada menteri-menteri bersama kemudahan sebuah kereta mewah Vellfire, sedangkan sebahagian besarnya tidak berguna dan tidak berfungsi, malah ramai yang hilang ketika banjir ini, bantuan RM10 ribu kepada mangsa banjir itu terlalu kecil sebenarnya.
Juga kalau dibandingkan dengan beberapa duta bertaraf menteri dan penasihat khas Perdana Menteri yang hakikatnya tiada kerja dan hanya makan gaji buta, tetapi mengaut puluhan ribu setiap bulan masuk ke poket sendiri, amatlah zalim dan bakhil kerajaan ini jika masih berkira untuk membantu RM10 ribu kepada mangsa banjir yang sedang kesusahan itu.
Kerja dan fungsi kerajaan ialah menolong rakyat dan mangsa banjir ini adalah kelompok rakyat yang benar-benar memerlukan bantuan serta pertolongan.
Baiklah berhenti jadi kerajaan kalau bantuan sekecil RM10 ribu untuk rakyat membina semula keluarga pun tak mampu dilakukan, tapi bermewah dalam hal lain senang-senang pula dilakukan. – ShahbudinHusin 24/12/2021.