NADMA gagal, menteri mesti bertanggungjawab sepenuhnya - Farhash








Kegagalan bertindak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak boleh diputar belitkan kepada kegagalan Pegawai Daerah atau agensi Kerajaan Negeri yang harus memikul beban bersama menguruskan mangsa dalam peristiwa banjir bandang pada 17 hingga 21 Disember lalu di Lembah Kelang.


Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Perak, Farhash Wafa Salvador, NADMA kelihatan seolah olah gagal total dalam menguruskan bencana banjir luar biasa itu terutama aspek pengarahan jentera membantu evakuasi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad yang menjaga agensi terbabit perlu bertanggungjawab sepenuhnya.


"NADMA yang merupakan salah satu agensi kerajaan di bawah bidang kuasa beliau merupakan peneraju yang secara kebiasaanya mengatur gerakan dan mengkoordinasi segala perancangan ketika menguruskan bencana.


"Walaupun pada hakikatnya, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran awal bahawa hujan lebat yang berterusan akan melanda penduduk di Lembah Klang dan beberapa kawasan lain, namun tiada sebarang usaha ke arah kesiapsiagaan yang lebih terperinci dan teratur direncanakan oleh pihak kerajaan.


"Sebahagian besar mangsa banjir di seluruh negara pada ketika ini mengalami kerugian dan kerosakan harta benda yang mungkin di luar jangkaan, terutamanya penduduk di sekitar Lembah Klang namun kini 'nasi sudah menjadi bubur'," katanya.


Tegas Farhash, selepas ini Kerajaan Persekutuan atau negeri perlu mempermudah urusan mangsa mangsa mendapatkan bantuan yang dijanjikan


Beliau berharap lebih banyak bantuan diperuntukkan kerana kerugian akibat banjir yang tiada amaran awal itu terlalu besar kerana mangsa tidak sempat menyelamatkan barang barang berharga.


"Walaupun Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor telah mengumumkan peruntukan berjumlah lebih RM100 juta serta beberapa bentuk bantuan lain bagi mereka yang terjejas, namun jumlah tersebut pastinya diragui mencukupi ataupun tidak untuk menampung segala kerugian besar yang ditanggung.


"Saya menyeru pihak kerajaan mempermudahkan segala bentuk bantuan serta sumbangan yang diperuntukan tanpa melalui sistem birokrasi yang menekan rakyat dengan melibatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Ketua Komuniti setempat, pegawai-pegawai daerah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Parlimen serta beberapa pihak yang lain," katanya lagi.

 

No comments: