Hampir 5,000 mangsa banjir dapat bantuan di DUN Sg Kandi





Seramai hampir 5,000 mangsa banjir menerima pelbagai jenis sumbangan bantuan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.

ADUN Sungai Kandis, Zawawi Mughni berkata, sumbangan itu diberikan oleh pelbagai pihak antaranya pihak Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI), Team Selangor, Mahasiswa KEADILAN Malaysia, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor(PPAS), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung(GPMS) Selangor, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Selangor dan NGO lain serta persendirian.

"Alhamdulillah sumbangan yang kita terima daripada pihak luar adalah sangat menggalakkan.

"Sumbangan berupa barangan asas seperti tilam, susu, pampers, air mineral, biskut dan makanan siap masak membantu hampir 5000 orang mangsa banjir," katanya.

Sebanyak 23 buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah ditubuhkan di Dun Sg Kandis melibatkan tujuh kawasan utama iaitu Johan Setia, Jalan Kebun, Kampung Lombong, Bukit Naga, Sungai Kandis, Telok Menegun dan Kampung Jawa.

Dua kawasan yang berada pada tahap kritikal (paras air tinggi) adalah Johan Setia dan Jalan Kebun.

Selain itu, kata Zawawi, Skuad Prihatin N49 DUN Sungai Kandis juga telah menubuhkan Pusat Pengumpulan dan Logistik di Dewan Serbaguna Kg Jawa sebagai One Stop Centre dan kemudian telah dipindahkan ke Stor Penyimpanan Terima dan Edar Pejabat Dun Sg Kandis bagi pengumpulan seluruh sumbangan daripada NGO, GLC dan persendirian.

"Skuad Prihatin N49 Dun Sg Kandis telah menggerakkan 100 sukarelawan disekitar kawasan bagi fasa pembersihan di rumah yang terkesan dan juga edaran bantuan makanan. Antara sukarelawan luar yang terlibat adalah pihak UNISEL, YB Rusnah Aluai dari Parlimen Tangga Batu, Angkatan Muda Keadilan(AMK) Melaka, Persatuan Pelajar Islam Selangor Darul Ehsan(PEPIAS), GPMS dan Persatuan Bulan Sabit Merah(PBSM).

"Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada setiap individu, wakil NGO, badan kerajaan dan semua yang terlibat dalam membantu usaha ini, semoga kita semua sentiasa dilindungi," katanya.