Iktibar dari PRN Sarawak buat parti-parti di Semenanjung

 


Iktibar dari PRN Sarawak buat parti-parti di Semenanjung


Seperti mana dijangka dari awal, parti GPS memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak sekaligus memberi gambaran parti-parti luar tidak ada simpati oleh rakyat negeri itu.

Parti dari luar Keadilan, AMANAH dan Pas tidak menang walaupun satu kerusi kecuali DAP yang menang hanya dua kerusi sahaja. Pejuang, Umno kalau pun mereka juga meletakkan calon mungkin ikut kalah sama.

Apakah petunjuk dan pengajaran daripada apa yang berlaku dalam PRN Sarawak itu? Bahawa parti dari luar bukan senang untuk memperluaskan pengaruh di negeri itu, dan sikap kenegerian masih menebal di Sarawak. Laut China Selatan tetap menjadi pemisah rasa dan pembeza semangat.

Kekalahan parti Keadilan, AMANAH, Pas dan DAP, memberi petunjuk parti asal Semenanjuing itu perlu berbuat sesuatu. Bukan masa lagi parti-parti dari Semenanjung untuk menunjukkan kekuatan masing-masing tanpa menyatukan diri bagi menghadapi fenomena yang tidak mahu kita lihat.

Kemenangan besar GPS, merupakan gabungan parti-parti Sarawak itu perlu dilihat dari sudut yang mungkin tidak terfikir sebelum ini. Dengan kemenangan itu ia boleh membuka dimensi siasah baru kepada cara orang Sarawak berpolitik.

Kalau sebelum ini parti luar Sarawak berfikir untuk menguasai negeri itu, atas alasan kononnya untuk memajukan Sarawak, dengan kemenangan besar GPS itu ia boleh bertukar sebaliknya.

GPS adalah gabungan dibentuk parti-parti dari Sarawak pertama kali. Kejayaan besar itu akan menyuntik semangat dan azam baharu buat mereka.

Apa kata kalau GPS pula kali ini akan bertindak seperti parti-parti Semenajung itu untuk menguasai Semenanjung. Jangan fikir hanya parti Semenanjung dirasakan hebat, kuat, dan mahu membuka sayap di Malaysia Timur, tetapi tidak dengan Malaysia Timur untuk Malaysia Barat.

Apa dilakukan oleh Warisan yang sudah merasmikan pelebaran sayap ke Semenanjung adalah muqadimah mengubah dimensi politik. Tidak mustahil untuk 10 tahun mendatang, parti-parti di Sabah dan Sarawak bergabung dan akan melebarkan sayap dengan tujuan untuk menguasai Semenanjung.

Justeru, apa yang perlu dilakukan oleh parti-parti Semenanjung mengorbitkan fikiran baru, meletakkan kecurigaan kepada permainan politik Sabah dan Sarawak dengan bersedia menghadapi tantangan yang tidak mustahil itu.

Maka Umno, Pas, Keadilan, DAP, Pejuang, Muda, Bersatu dan semua parti-parti di Semenanjung perlu mengurangkan politiking dan menunjukkan kehandalan yang bodoh bagi mengatasi kemunculan dimensi politik baru bakal dicetuskan oleh politik Sabah dan Sarawak.