DESAKAN KLUSTER KABINET LEWATKAN PRU15 BOLEH MAKAN DIRI ISMAIL SABRI


 Berdasarkan mesyuarat perwakilan UMNO bahagian-bahagian yang berlangsung setakat semalam, jelas kini terdapat dua mazhab keinginan yang ketara dalam parti itu.

Mazhab pertama mahukan PRU15 diadakan segera dan ia mesti dilangsungkan sebelum pemilihan UMNO diadakan.

Bermakna, golongan ini mahu PRU15 diadakan sebelum 29 Disember 2022 iaitu tempoh akhir sebelum pemilihan UMNO mesti diadakan.

Menerajui mazhab ini ialah Presiden UMNO sendiri, Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presidennya, Mohamad Hasan, sebahagian besar barisan dalam hireaki kepimpinan MT, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri.

Banyak alasan diberikan kenapa PRU mesti diadakan segera, antaranya kerana mood rakyat selepas kejayaan PRN Melaka, untuk mengelakkan perpecahan dalam parti akibat pemilihan UMNO dan sebagainya.

Mazhab kedua pula mahu pemilihan UMNO diadakan lebih dulu sebelum PRU15 hendak dilangsungkan.

Bersama desakan agar pemilihan UMNO diadakan segera dan PRU15 dikemudiankan, golongan ini turut mengusulkan agar tempoh khidmat Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri diberi ruang sehingga akhir penggal Parlimen iaitu Jun 2023.

Golongan yang kuat mendesak perkara ini ialah kelompok kluster kabinet iaitu pemimpin UMNO yang tiada jawatan dalam hireaki kepimpinan MT, tetapi berjawatan menteri dan timbalan menteri dalam kerajaan.

Golongan ini percaya jika pemilihan UMNO diadakan lebih dulu, maka mereka boleh memenangi jawatan dalam kepimpinan MT berdasarkan jawatan kerajaan yang disandang yang seterusnya mencerahkan peluang untuk dipilih lagi sebagai calon PRU15.

Namun, jika PRU15 diadakan lebih dulu, selain kerana tiada kedudukan dalam kepimpinan tertinggi parti dan sebahagian mereka pula kerap berlaga pendapat dengan Presiden, mereka juga percaya peluang untuk dipilih sebagai calon pilihanraya adalah tipis.

Mudah kata, keinginan dan tujuan mendesak pemilihan diadakan lebih dulu itu banyak disebabkan oleh faktor-faktor kepentingan diri belaka.

Dalam kelompok ini, oleh kerana UMNO Bahagian Bera yang diketuai Ismail Sabri turut meluluskan usul agar Perdana Menteri diberi tempoh menjalankan tugas sehingga 2023, ia secara tidak langsung bermakna beliau juga setuju pemilihan UMNO diadakan lebih dulu berbanding PRU15.

Pertelagahan dua mazhab ini dijangka akan terus berlanjutan selepas ini kerana masing-masing ada hujah tersendiri untuk dipertahankan.

Meski begitu, dalam usaha memastikan siapa yang berjaya mempertahankan pendirian masing-masing, harus diakui bahawa kelebihan ada di pihak Zahid Hamidi.

Sekarang ini, termasuk dalam ucapannya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bagan Datuk semalam, tidak diragui lagi Zahid Hamidi tetap dengan pendirian mahukan PRU15 diadakan segera dan ternampak beliau tidak akan mengalah mengenainya.

Jika mazhab yang lagi satu terus berkeras mendesak agar PRU15 dilewatkan sehingga 2023, pilihan terakhir yang boleh Zahid Hamidi lakukan ialah menarik sokongan terhadap Perdana Menteri bagi tujuan memaksa pilihanraya diadakan dengan segera.

Apabila dalam ucapannya semalam Zahid Hamidi mengimbas balik tentang peranan UMNO menjatuhkan Tun Mahathir Mohamad dan Mahiaddin Md Yasin sebagai Perdana Menteri sebelum ini, ia adalah mesej tersirat kepada Ismail Sabri bahawa beliau juga boleh dijatuhkan daripada jawatannya.

Berbeza dengan kluster menteri, mereka hanya sekadar mampu mendesak agar PRU15 dilewatkan saja, tetapi tidak berkuasa apa-apa untuk menggulingkan Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO.

Kesimpulannya, dalam pertembungan dua mazhab ini, Perdana Menteri boleh dijatuhkan sebelum tempohnya, manakala Presiden UMNO hanya boleh dijatuhkan melalui tarikh pemilihan yang akan ditentukan oleh Zahid Hamidi sendiri.

Kecuali jika Ismail Sabri sedia akur dengan hasrat Zahid Hamidi, desakan berterusan kluster kabinet untuk melewatkan tarikh PRU15, apa lagi jika terbukti Ismail Sabri terbabit bersekongkol dengannya, tidak mustahil desakan itu akhirnya merupakan tindakan makan diri yang boleh memendekkan hayat Perdana Menteri sendiri. – ShahbudinHusin 19/12/2021.




No comments: