Mengundi atau tidak, Melaka

 

Ada seorang teman bilang kepada saya, dia enggan turun mengundi meskipun dia pengundi berdaftar di Melaka. Tentu, saya tidak menyalahkannya. Politik telah mengecewakan ramai dalam kalangan kita sejak PRU14.

Ini belum lagi isu terdapatnya warga negara ini yang memang tidak mendaftar diri untuk mengundi pun. Baru-baru ini memang ada pendedahan antara lain daripada mantan Timbalan Pengerusi SPR, Wan Ahmad Wan Omar, yang menyatakan sikap dan mentaliti antara punca orang Melayu tidak mendaftar sebagai pemilih meskipun sudah mencapai usia 21 tahun. Antara sebabnya kerana kurang kesedaran dan sikap sambil lewa tentang tanggungjawab sebagai pengundi.

Sepanjang dua tiga minggu kempen PRN Melaka ini ada satu dua yang menggerunkan menurut saya telah dan sedang berlaku. Satu dua perkara yang menakutkan itu adalah korupsi yang berlaku terang-benderang.

Pertama, sogokan dilakukan tanpa segan silu. Ahli keluarga saya yang keluar untuk membeli burger di tubir jalan misalnya diberitahu tidak perlu mengeluarkan harga burger istimewa itu lagi. “Ada calon parti sudah membayarkan. Dan dipesan mengundi…” seraya menunjukkan poster yang ditepek berdekatan gerai burgernya itu.

Kemudian, seorang ahli keluarga yang lain, bertugas sebagai pengutus makanan memberitahu; minyak motorsikalnya dipenuhkan selama dua minggu. Dengan syarat keluar mengundi parti sekian-sekian lagi.

“Biru?”

Dia tertawa.

Sogokan kecil-kecilan ini turut berlaku secara terang-terangan dan dilaporkan media. Ia tidak segan silu. Gabungan parti dalam Perikatan Nasional (PN) dalam manifestonya sempena PRN Melaka selamba menawarkan bayaran RM200 (sekali bayar) kepada guru tahfiz, Kelas al-Quran, Fardhu Ain, dan tadika bawah seliaan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) jika ‘berjaya membentuk kerajaan negeri’. Sekali bayar itu sendiri menandakan ia sejenis sogokan.

Contoh sogokan lain apabila calon sebuah parti di DUN Telok Mas menabur janji, antara lain sumbangan 100kg beras percuma kepada rakyat di DUN itu bagi setiap perkahwinan kali pertama. Saya tidak dapat membayangkan apa penjelasan untuk hal seumpama ini melainkan ia adalah sogokan, atau dalam bahasa kesatnya, rasuah.

Kalau sogokan itu boleh melicinkan dakwah Islam, tentu sahaja Nabi Muhammad telah menyogok penduduk Quraisy di Mekah ketika awal penyebaran Islam. Nabi Muhammad bukanlah orang calang-calang kerana beliau keturunan bangsawan. Lagipun isterinya juga kaya-raya. Boleh sahaja Rasulullah saw menawarkan tepung gandum 100kg. Atau boleh pula Nabi membayarkan mereka yang ingin memeluk Islam wang emas 200 keping setiap seorang.

Akan tetapi rasuah atau sogokan itu salah. Ia kegoncangan kepada peradaban. Ia tidak boleh dibenarkan berlaku. Tidak ada tamadun dapat tegak dengan rasuah dan sogokan. Maka kita tahu rasuah itu tidak boleh jadi punca meraih kepercayaan masyarakat. Malah masyarakat pula mesti tahu bahawa rasuah tidak boleh ditolak ansurkan.

Untuk pengundi Melayu yang enggan keluar mengundi dengan alasan PRN Melaka adalah sarkas. Saudara benar, tetapi saudara juga perlu memberi perhatian bahawa jika ada badut bodoh dan jahat berleluasa ekoran musibah dari saudara tidak keluar mengundi, maka saudara adalah bahagian dari kejahatan yang terjadi.

Apabila keluarga Nabi Muhammad ditindas dengan dahsyatnya di zaman Umaiyyah, mereka tidak punya pilihan lain – sarkas atau tidak sarkas – untuk melengserkan Bani Umaiyyah dan dinaikkan Bani Abbasiyyah. Kezaliman Umaiyyah terhadap Bani Hashim tidak tergambar dengan kata. Sikap dan tindak-tanduk paganisme mereka kembali semula dan cucu-cicit Nabi Muhammad serta teman-temannya dipancung dan digiring ke Damsyik. Maka Bani Hashim perlu menolak Umaiyyah. Mereka tidak ada pilihan lain, maka Bani Abbasiyyah yang pada waktu itu kurang keiblisannya (baca: kurang sarkasnya) dilorongkan. Tentu, kejahatan dan kesengsaraan mereka tidaklah berakhir. Akan tetapi untuk seketika, mereka dapat bernafas. Kemurnian agama yang kita perolehi hari ini natijah dari penderitaan mereka itu, dan pilihan mereka yang tepat (ketika itu).

Tidak, kita tidak boleh tidak memilih, dengan alasan kita muak dan mual. Sesuatu mesti dilakukan, sebelum negara ini dijahanamkan. Ini kerana perkara kedua yang menjengkelkan berlaku ketika PRN Melaka ialah apabila ‘orang jahat datang kembali’.

‘Orang jahat datang kembali’ ini membuka jalan kepada kemusnahan negara. Harus diingat ‘orang jahat ini’ ada rangkaiannya, dan mereka punya dana. Bukan itu sahaja, pihak yang bersekongkolan dengan mereka sangat berjaringan. Mereka menguasai pihak yang boleh dikuasai dan menggunakan segenap taktik sedia ada untuk meneruskan korupsi. Jika sogokan kecil-kecil dilakukan ketika pilihan raya, korupsi besar-besaran dilakukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa untuk kekal menekan dan memijak murbawan.

Anne Applebaum dalam akhbar antarabangsa Atlantic yang terkini menulis sebuah esei panjang mengenai ‘orang jahat datang kembali ini’, dalam artikel beliau yang berjudul “ The Bad Guys Are Winning”. Anne menyiasat strategi yang digunakan oleh ‘orang jahat datang kembali ini’ dan berusaha memahami mengapa, sebaik sahaja mereka disingkirkan, mereka boleh dan mampu menjelma kembali. Anne menulis gejala yang saya sebutkan di atas begini:

“Nowadays, autocracies are run not by one bad guy, but by sophisticated networks composed of kleptocratic financial structures, security services (military, police, paramilitary groups, surveillance), and professional propagandists. The members of these networks are connected not only within a given country, but among many countries. The corrupt, state-controlled companies in one dictatorship do business with corrupt, state-controlled companies in another. The police in one country can arm, equip, and train the police in another.”

‘Orang jahat datang kembali’ justeru, ada sekutu dan jaringan yang ampuh, dan hanya boleh dialahkan oleh kekuatan rakyat. Mereka gumbira dan malah memainkan naratif ‘sarkas’ dan ‘penat berpolitik’ agar boleh kekal menunggang ketidakpedulian sesetengah rakyat ini. Mereka harus menjelma kembali. Penyangak ini hanya boleh dialahkan dengan kuasa keramat rakyat seperti yang dilakukan pada 9 Mei 2018.

PRN Melaka tidak akan berulang serentak ketika PRU15 dalam setahun dua lagi. Nasib Melaka di peringkat negeri ditentukan sabtu ini.