Tarik balik bubar DUN Melaka: PH Melaka hantar warkah kepada Agong

 


Oleh FAZLI RADZI / October 8, 2021

Pakatan Harapan (PH) Melaka telah menghantar warkah berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, Kuala Lumpur petang tadi.

Pengerusinya Adly Zahari, berkata warkah itu dihantar jam 5.50 petang oleh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu Datuk Norhizam Hassan Baktee dan bekas ADUN Telok Mas Datuk Noor Effandi Ahmad.

“Warkah berkenaan diterima oleh Wakil Urusan Diraja Istana Negara Ahmad Hanafi Yahya,” katanya yang merupakan bekas Ketua Menteri Melaka.

Adly yang juga Pengerusi AMANAH Melaka dan Naib Presiden parti itu berkata surat tersebut ditandatangani oleh beliau, Norhizam, Noor Effandi, bekas ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron dan bekas ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan.

 

Warkah tersebut dihantar untuk memohon ihsan dan kebijaksanaan Seri Paduka untuk menasihati Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam agar menarik balik tindakan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada 4 Oktober lalu.

Antara lain, isi kandungan warkah itu menyebut selaras dengan Perkara 8.2(b) Perlembagaan Negeri Melaka, Tun Mohd Ali tidak mempunyai budi bicara untuk mempersetujui permintaan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali bagi membubarkan DUN.

Adly menegaskan hal tersebut harus dielak kerana telah membuka laluan untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) semasa usaha membendung wabak Covid-19 masih berada di tahap pemulihan sekali gus mengancam nyawa rakyat dan ekonomi negara ketika pandemik belum terkawal sepenuhnya.

“Yang Dipertua Negeri sepatutnya menjalankan proses pertemuan dengan semua 28 ADUN untuk menentukan kehilangan sokongan majoriti ADUN ke atas Ketua Menteri dan kepunyaan sokongan majoriti ADUN ke atas ADUN yang dicalonkan oleh kami mengikut Perlembagaan Negeri Melaka (Proses Penentuan Ketua Menteri).

“Proses Penentuan Ketua Menteri tidak sepatutnya dilaksanakan dengan cara tergesa-gesa terutama sewaktu Yang Dipertua Negeri menjalani kuarantin kendiri dari 30 September hingga 7 Oktober,” tambahnya lagi.



No comments: