Keputusan isytihar darurat di Melaka ditentukan minggu depan



KUALA LUMPUR: Kerajaan akan membuat keputusan minggu depan sama ada akan menasihatkan pemangku Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat di Melaka bagi menangguhkan pilihan raya negeri (PRN), kata Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, beliau difahamkan Sultan Nazrin Shah sedang mendapatkan maklumat lanjut daripada beberapa pihak berhubung perkara berkenaan sebelum membuat keputusan.

“Tadi kita adakan mesyuarat Kabinet, situasi di Melaka juga dibincangkan di mesyuarat berkenaan.

“Kita belum membuat sebarang keputusan lagi sebab difahamkan pemangku Agong akan mendengar taklimat daripada Peguam Negara, Kementerian Kesihatan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Jadi kita tunggulah selepas sesi taklimat kepada pemangku Agong berkenaan,” katanya kepada media selepas prapelancaran Keluarga Malaysia.

Beliau ditanya sama ada kerajaan akan menasihatkan pemangku Agong untuk mengisytiharkan darurat di Melaka bagi mengelakkan PRN diadakan.

Pada 5 Okt, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan selepas Ketua Menteri Sulaiman Md Ali hilang sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri itu.

Pembubaran itu diumumkan Yang Dipertua DUN Melaka Ab Rauf Yusoh, sehari selepas empat ADUN Melaka termasuk bekas Ketua Menteri Idris Haron menarik balik sokongan terhadap Sulaiman.

Pembubaran itu yang dipersetujui oleh Yang Dipertua Negeri, Mohd Ali Rustam, dilihat sebagai jalan keluar untuk mengatasi kemelut politik berkenaan dan membentuk kerajaan negeri baharu menerusi pilihan raya.

Selain Idris, tiga lagi ADUN mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri adalah ADUN Pengkalan Batu, Norhizam Hassan Baktee; ADUN Telok Mas, Noor Effandi Ahmad; dan ADUN Pantai Kundor, Nor Azman Hassan.

No comments: