Empat bekas ADUN Melaka sah jumpa Anwar selepas tarik sokongan

 



October 8, 2021


Empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, 4 Oktober lalu, sah telah bertemu Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Salah seorang ADUN terlibat, wakil rakyat Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron mengesahkan pernah bertemu Ketua Pembangkang tersebut baru-baru ini seperti yang tular di media sosial.

Idris bersama tiga lagi bekas ADUN iaitu Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu).

Turut hadir pada pertemuan dipercayai diadakan di sebuah hotel di Kota Laksamana, Melaka, 5 Oktober lalu itu ialah Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari.

“Itu adalah pertemuan biasa PH, memperkenalkan empat ADUN yang sudah merubah kerajaan. (Kami) minum malam, itu saja.

“Pertemuan itu tidak membincangkan hal mengenai tawaran menyertai PKR, tetapi lebih kepada sesi perkenalan dan berbicara hal ehwal politik semasa,” lapor BH malam tadi.

Menurut Idris yang juga mantan Ketua Menteri Melaka itu berkata, Anwar dalam perjumpaan itu menasihatkan semua empat ADUN terbabit kekal bersabar dan menyerahkan segala-galanya kepada pihak mahkamah.

Jelasnya, Anwar turut menyatakan perjuangan yang dilakukan itu lebih kepada usaha menegakkan kebenaran dan mencegah kemungkaran, selain memperjuangkan keadilan sejagat.

“Saya memang pegang kepada prinsip itu, bahkan ketika dalam Umno dulu pun saya berpegang kepada prinsip kesaksamaan sejagat. Prinsip itu sama, cuma mungkin kaedah metadologi itu lain sikit,” tambah Idris lagi.

Kelmarin, Idris mendedahkan pernah dihubungi dua presiden parti dalam gabungan PH selepas beliau bersama tiga ADUN lain bertindak menarik sokongan terhadap Sulaiman.

No comments: