Kerajaan yang lemah jadi faktor kes Covid-19 terus meningkat, analisa negara dunia buktikannya

 Kerajaan yang lemah jadi faktor kes Covid-19 terus meningkat, analisa negara dunia buktikannya


Kerajaan yang lemah jadi faktor kes Covid-19 terus meningkat, analisa negara dunia buktikannya. Kenyataan Pakar penyakit berjangkit yang diiktiraf Badan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Adeeba Kamarulzaman memberi gambaran yang tepat senario krisis Covid-19 di Terengganu dan juga di Malaysia.

Kita perhatikan, dimana wujud kerajaan yang lemah seperti di Bolivia, Peru dan Afrika Selatan, maka di situlah masalah Covid-19 kekal dan bertambah.

Di negara negara ini juga terdapat sikap dwi standard iaitu antara dua darjat di mana rakyat hilang hormat kepada SOP kerajaan yang dlkuatkuasa secara tidak adil.

Contohnya di Terengganu, nyawa rakyat diperjudikan demi perniagaan namun tiada kompaun dikenakan terhadap pengurusan perniagaan hotel kerajaan yang bersalah.

Kenyataan YB Khairy semalam masalah rakyat tidak patuh SOP amat tepat tetapi ia mesti disertai juga patuh SOP dari pihak kerajaan.

Rakyat bosan melihat banyak pihak VIP dan kerajaan yang terlepas denda melanggar SOP yang melibatkan risiko nyawa.

Nampaknya pembukaan pintu pelancongan tempatan di Terengganu mulai 1 September lebih menjadi keutamaan kerajaan bukannya keselamatan rakyat.

Berita Hotel Primula milik kerajaan Negeri Terengganu, masih beroperasi pada 5 September walaupun jangkitan pertama Covid-19 bermula 16 Ogos dan kes positif mencecah 35 pekerja sebelum notis penutupan dikeluarkan amat mengejutkan dan mendukacitakan.

Kalau hotel swasta, hanya dua atau tiga orang jangkitan sudah diarahkan ditutup.

Itu pun hanya berlaku selepas puluhan pekerja hotel mengadu kepada kami dan satu aduan rasmi kepada KKM yang mengeluarkan arahan segera untuk tutup.

Hari ini selepas sebulan mula merebak Covid-19 di Primula dan 10 hari selepas KKM mengarahkan seluruh hotel ditutup, masih tidak ada pengumuman saman atau apa apa tindakan denda ke atas hotel kerajaan tersebut.

Inilah yang dimaksudkan oleh Dr Adeeba amalan atau sikap dwi standard antara dua darjat oleh kerajaan yang hanya menghukum rakyat biasa dan tidak kepentingan kerajaan.

Kerana rakyat anggap kerajaaan tidak serius bertindaklah diantara sebabnya kebelakangan ini tahap Covid19 di Terengganu telah meningkat sekitar 900 jangkitan berbanding sekitar 100 sahaja dahulu.

Kami mendesak Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengambil tindakan tegas atas insiden Hotel Primula yang melibatkan kluster Primula seramai 35 orang jangkitan, dengan 22 orang lagi masih menunggu keputusan ujian. Hari ini pula puluhan yang telah diuji minggu lepas, diminta diuji semula pada Rabu 15 September..

Ramai pekerja dan ahli keluarga mereka dalam ketakutan seperti laporan sebuah portal terkemuka yang telah menemubual mereka.

Laporan ada juga menyebut EXCO Kesihatan Negeri Dr Alias Razak menyatakan mereka hanya mengikut arahan dari KKM seolah olah KKM pula yang tidak menjalankan tugas pemantauan walhal KKM hanya bertindak mengikut maklumat yang disampaikan kepada mereka oleh pihak hotel. Adakah maklumat terperinci di berikan oleh hotel kepada KKM?

KJ selaku Menteri Kesihatan yang baru perlu berlaku tegas dan adil memastikan denda dan hukuman setimpal dikenakan kepada hotel yang bersalah walaupun ianya milik kerajaan.

Tidak berapa lama dahulu beberapa anak muda rider FoodPanda di Terengganu telah di saman ribuan ringgit kerana makan pada waktu rehat tanpa penjarakkan mengikut SOP. Bagaimana pula saman denda dengan hotel jutaan ringgit milik kerajaan Negeri?

Isu Hotel Primula melibatkan setakat ini sekurang kurangnya 35 kes positif tidak termasuk 3 keluarga di rumah dan kenapa selepas 10 hari masih tiada hukuman denda dikenakan sebagai contoh seriusnya penguatkuasaan SOP Kerajaan mengatasi COVID19?

Seperti kenyataan pakar penyakit berjangkit seperti Dr Adeeba, jika kerajaan lemah dan mengenakan denda hukuman dua darjat, rakyat tidak akan mengambil serius SOP dan masalah COVID 19 akan sukar diatasi.

Rakyat menaruh harapan tinggi kepada Khairy Jamaluddin agar membetulkan persepsi ini dan membuktikan seriusnya kerajaan mengatasi Covid19 demi negara tercinta menjelang hari Malaysia 2021.

RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH
Pengerusi PAKATAN HARAPAN Terengganu
Pengerusi AMANAH Terengganu.


Sumber: