Doktor kontrak, sijil vaksin antara fokus Dewan Rakyat hari ini


Persidangan Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung selama 17 hari, iaitu sehingga 12 Okt. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Perancangan masa depan untuk doktor-doktor kontrak, maklumat penerima vaksin yang tidak mempunyai kad pengenalan diri serta tindakan terhadap golongan yang memalsukan sijil vaksin adalah antara isu yang bakal dikupas dalam sidang Parlimen hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat sidang Dewan Rakyat yang bermula 10 pagi itu, persoalan mengenai rancangan untuk menjamin masa depan doktor kontrak akan diajukan Rusnah Aluai (PH-Tangga Batu) kepada Menteri Kesihatan dalam sesi jawab lisan.

Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) pula meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan tindakan proaktif kerajaan mengenai maklumat penerima vaksin yang tidak mempunyai kad pengenalan diri, terutamanya di Sarawak dan tindakan atas isu individu tanpa pengenalan diri.

Shaharizukirnain Abd. Kadir (PAS-Setiu) akan turut bertanya kepada kementerian sama mengenai tindakan yang akan dikenakan ke atas golongan yang memalsukan sijil vaksin.

Antara isu lain yang bakal diketengahkan adalah langkah diambil Kementerian Pembangunan Luar Bandar bagi memastikan masyarakat Orang Asli tidak tercicir daripada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebelum menyambung semula perbahasan Titah Diraja.

Turut dijadual dibentangkan bagi bacaan kali kedua adalah Rang Undang-Undang Levi Keuntungan Luar Biasa (Pindaan) 2020, Rang Undang-Undang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2020, Rang Undang-Undang Kilang dan Jentera (Pemansuhan) 2020, Rang Undang-Undang Lembaga Angkasa Malaysia 2020 dan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2020.

Hari ini adalah hari kedua Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 diadakan bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung selama 17 hari, iaitu sehingga 12 Okt.

No comments: