LAAAAA...BARU DRAF ??? MENARUT BETOI LA....

 


lPindaan RUU 355 masih peringkat draf


Kerajaan memaklumkan cadangan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Pindaan 1984) (Akta 355) masih dalam peringkat perbincangan.

Perdana Menteri dalam jawapan kepada pertanyaan lisan Khalid Abd Samad (PH-Shah Alam) semalam menjelaskan beberapa siri mesyuarat bagi membincangkan RUU 355 telah diadakan sepanjang 2020 dan tahun ini.

Jelasnya, siri mesyuarat itu melalui Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil yang ditubuhkan oleh Majlis Raja-Raja di bawah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI).

Menurutnya, perbincangan tersebut melihat dari pelbagai aspek khususnya Perlembagaan, undang-undang dan hukum syarak agar RUU 355 tersebut lebih komprehensif dan seterusnya dapat memperkasa bidang kuasa jenayah mahkamah syariah.

“Bagi meningkatkan bidang kuasa jenayah mahkamah syariah pula, kerajaaan juga sedang mempergiat usaha untuk mendraf Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2021 (RUU 355).

“Setelah RUU 355 dimuktamadkan kelak, RUU 355 tersebut akan dibentangkan kepada negeri-negeri dalam Persidangan Penyelarasan Undang-Undang Syarak dan Sivil,” katanya.

Terdahulu, Khalid dalam soalan nombor 49 meminta Perdana Menteri menyatakan perancangan strategik bagi memperkasakan mahkamah syariah menerusi pindaan Akta 355 (mahkamah syariah) bagi tahun ini.

Isu RUU 355 sejak zaman Najib Razak menjadi Perdana Menteri ‘panas’ dan dilihat diperalat untuk menyerang AMANAH dan Pakatan Harapan apabila beberapa kali dibawa Presiden Pas dalam sidang Parlimen tetapi tidak sempat dibahaskan.

Polemik berhubung RUU 355 muncul sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) termasuklah aksi himpunan mega Pas di Padang Merbok di ibu negara pada 18 Februari 2017.

Cadangan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Pindaan 1984) (Akta 355) diusulkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Pas-Marang) di Dewan Rakyat pada 26 Mei 2016.

Beliau mencadangkan hukuman mengikut hukum syarak kecuali hukuman mati tetapi kemudian ditangguhkan ke sidang Dewan Rakyat berikutnya.

Pada 24 November 2016 pula, Ahli Parlimen Marang itu mengemukakan pindaan kepada usul pertama dibuat pada 26 Mei dengan mencadangkan hukuman denda RM100,000, penjara 30 tahun dan sebat 100 kali serta pindaan usul itu ditangguhkan.

Selanjutnya, pada 6 Mei 2017, usul itu dicadangkan semula dengan lebih mendalam Ahli Parlimen Marang dan diperjelaskan oleh Datuk Takiyuddin Hassan (Pas-Kota Bharu) tetapi tidak dibahaskan kerana Dewan Rakyat menangguhkan usul itu untuk dibahaskan ke persidangan berikutnya.

Semasa pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) tahun lalu, persoalan mengenai RUU 355 sekali lagi dibangkitkan dalam Dewan Rakyat.

Pada 22 Julai 2020, dalam soalan lisan Datuk Dr Hasan Bahrom (PH-Tampin) mengenai statusnya, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ketika itu, Ahmad Marzuk Shaary, memaklumkan ia memerlukan pertimbangan dan penelitian menyeluruh agar tidak bercanggah dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Hingga kini RUU 355 belum dibahaskan.


No comments: