Guru enggan divaksin tak dibenar mengajar di kelas, kata menteri


Radzi Jidin berkata Kementerian Pendidikan bagaimanapun akan mengeluarkan garis panduan tugasan untuk guru yang enggan divaksin. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Guru yang enggan menerima vaksin Covid-19 tidak akan dibenarkan mengajar secara bersemuka dalam kelas dan berinteraksi bersama pelajar apabila sesi persekolahan dibuka 3 Oktober, kata Menteri Kanan Pendidikan Radzi Jidin.

Beliau berkata, tindakan itu dibuat kerana timbul persoalan terhadap guru yang enggan menerima vaksin itu.

Bagaimanapun katanya, Kementerian Pendidikan akan mengeluarkan garis panduan tugasan untuk guru yang tidak divaksin ini.

“Pada waktu ini, terdapat 2,500 guru enggan divaksinkan di negara ini dan kita akan terus mengadakan sesi libat urus bersama mereka.

“Apabila sekolah dibuka kelak, guru yang tidak divaksinkan ini tidak boleh mengajar secara bersemuka di dalam kelas serta berinteraksi dengan pelajar,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Sesi Libat Urus Menteri Kanan Pendidikan Bersama Guru Sekolah Rendah Negeri Perlis.

Radzi berkata, pihaknya sedang juga berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkenaan tindakan yang boleh diambil terhadap guru yang masih enggan menerima vaksin.

Katanya, tindakan yang diambil itu adalah mengambil kira keadaan semasa terutama menjelang pembukaan sekolah kelak.

“Jumlah ini tidak ramai dan hanyalah segelintir daripada lebih 400,000 guru di negara ini jadi kita hendak jaga anak kita di sekolah supaya ibu bapa yakin persekitaran di sekolah itu selamat untuk anak kita.

“Ada guru yang tidak dapat divaksin ini atas masalah kesihatan namun ada juga guru yang memberi alasan seperti tidak yakin akan keberkesanan vaksin ini menyebabkan mereka menolak untuk menerima vaksin ini serta pelbagai alasan lagi,” katanya.

Beliau berkata, segala alasan yang dikemukakan guru yang enggan divaksin akan diteliti satu persatu dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) akan bertemu dan menjelaskan kepada guru terbabit keperluan vaksin dalam memastikan ekosistem keseluruhan sekolah adalah selamat untuk pelajar.

Dalam pada itu katanya, sehingga kini sebanyak 85.26% guru di negara ini sudah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.

“Sebanyak 96.7% sudah menerima satu dos vaksin dan pada masa sama juga, kakitangan sokongan di sekolah termasuk pekerja kantin, kita turut mahu pastikan staf sokongan sekolah yang terdiri sektor pekerja kantin, kebersihan dan keselamatan divaksinkan,” katanya.

Beliau berkata, kementerian sudah pun mengeluarkan makluman iaitu mereka yang berada di kawasan sekolah mesti di vaksin.

“Terdapat 73.71% kakitangan perkhidmatan sokongan sekolah sudah lengkap menerima dua dos vaksin manakala 89.35% lagi pula sudah pun menerima satu dos suntikan vaksin,” katanya.

Radzi berkata, sesi pengajaran ketika pembukaan sekolah pada 3 Oktober hadapan akan diputuskan kelak berdasarkan situasi negeri mengikut fasa Pelan Pemulihan Negara.

“Malah, terdapat perbezaan dari sudut pendekatan pengajaran juga dijalankan mengikut negeri pada fasa PPN ini.

“Segala mekanisma pengajaran ini akan dimaklumkan kelak sebelum bermulanya sesi pembukaan sekolah nanti,” katanya.

No comments: