‘Kita berikan Khairy 1 bulan peluang sebagai Menteri Kesihatan baharu’ – Kit Siang

 

Oleh Lim Kit Siang

(Ahli Parlimen Iskandar Puteri dan Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP)

Khairy perlu mengatasi masalah kes yang terus meningkat dan angka kematian akibat Covid-19 yang sering memecah rekod walaupun dengan kadar vaksinasi yang sedang meningkat

Khairy Jamaluddin telah bermula dengan cara yang tepat sebagai seorang Menteri Kesihatan dengan berjanji untuk menjadi lebih telus, memberikan maklumat Covid-19 yang lebih terperinci kepada orang ramai, dan memulakan inisiatif untuk meningkatkan operasi Covid-19 dengan memperuntukan lebih banyak vaksin, tenaga kerja, dan peralatan perubatan ke lima negeri — Sabah, Johor, Kedah, Pulau Pinang, dan Kelantan — yang sedang mencatatkan peningkatan mendadak kes Covid-19. 

Namun begitu, terdapat satu perkara mendesak yang tidak disebut oleh Khairy dalam sidang media pertama beliau sebagai Menteri Kesihatan — kadar kes baharu dan kematian harian akibat Covid-19 yang tinggi walaupun dengan kadar vaksinasi yang sudah tinggi dalam negara. 

Semalam, negara kita mencatatkan 18,762 kes baharu dan 278 kematian akibat Covid-19. 

Masih belum ada tanda-tanda tren penurunan peningkatan kes harian dan kematian sejak dari pengumuman Pelan Pemulihan Negara pada 15 Jun, di mana negara kita mencatatkan 5,419 kes, 101 kematian akibat Covid-19, 667,976 kes terkumpul dan 4,069 kematian terkumpul akibat Covid-19. 

Perkara ini bermakna, sejak pengumuman Pelan Pemulihan Negara, kes Covid-19 telah meningkat 2.64 kali ganda dan kematian pula meningkat 4.2 kali ganda. 

Angka harian kes Covid-19 melepasi paras 20,000 kes pada 5 Ogos. 

Sejak daripada hari tersebut, terdapat 18 hari dengan jumlah kes melebihi paras 20,000 kes (mencecah kemuncak 24,599 kes pada 26 Ogos), enam hari dengan kes di antara 19,000 ke 20,000, dan dua hari masing-masing untuk 18,000 ke 19,000 dan 17,000 ke 18,000 kes. 

Adakah angka kes baharu dan kematian akibat Covid-19 sedang meningkat atau menurun?

Angka-angka ini tinggi, tetapi kita tidak dapat memastikan sama ada ia sedang meningkat atau menurun. 

Memandangkan terdapat tempoh inkubasi 14 hari untuk Covid-19, hanya adil untuk kita menunggu 14 hari sebelum menilai Khairy sebagai Menteri Kesihatan dengan dasar, strategi, dan pedekatan baharu dalam memerangi wabak Covid-19. 

Kita berkemungkinan akan mengatasi dua lagi negara, Iraq dan Belanda, dengan lebih banyak kes terkumpul di tempat ke-21 apabila kita meraikan Hari Malaysia ke-58 pada 16 September 2021. 

Adakah kita akan melepasi paras 17,000 kematian hari ini dan melepasi paras 20,000 kematian pada Hari Malaysia ke-58?

Adakah Malaysia akan berada dalam hala tuju penurunan kes dan kadar kematian akibat Covid-19 dalam penghujung bulan ini?

Kita berikan Khairy satu bulan sebagai Menteri Kesihatan baharu.

No comments: