PM DARIPADA UMNO, MAKA UMNO MESTI KUASAI KERUSI SPEAKER PARLIMEN

 

Sepatutnya apabila Perdana Menteri bertukar, antara jawatan yang harus turut sama diganti pengisinya ialah Speaker Parlimen.

Apatah lagi bila dalam keadaan seseorang Perdana Menteri itu mempunyai majoriti yang tipis, adanya Speaker Parlimen yang memihak kepadanya yang boleh menolak usul tidak percaya atau mempertahankan kerusi Perdana Menteri dengan pelbagai cara, peranannya adalah seperti penyelamat nyawa.

Bertukar Perdana Menteri daripada sesama parti, misalnya daripada Tun Mahathir Mohamad kepada Tun Abdullah Badawi, kemudian daripada Tun Abdullah kepada Najib Razak dalam era BN sebelum ini pun, pertukaran Speaker tetap dilakukan.

Ketika era Tun Mahathir, Speaker Parlimen ialah Mohamed Zahir Ismail, di era Tun Abdullah digantikan dengan Ramli Ngah Talib dan kemudian di era Najib ia diambil alih oleh Pandikar Amin Haji Mulia.

Apabila PH menang, gabungan itu juga memilih Speaker pilihannya iaitu bekas Hakim, Mohamad Ariff Md Yusof.

Kemudian apabila Mahiaddin Md Yasin melakukan pengkhianatan menjatuhkan PH untuk mengejar cita-cita sebagai Perdana Menteri, beliau turut menukar Speaker dengan meletakkan Azhar Azizan Harun sebagai pemegang jawatan itu.

Kini dengan Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri, beliau juga harus melakukan perkara yang sama iaitu menukar Speaker Parlimen dengan meletakkan calon pilihannya.

Tidak ada sebab untuk Ismail Sabri terus mengekalkan beliau kerana Azhar adalah calon yang diletakkan Mahiaddin di kerusi tersebut.

Dalam keghairahan UMNO tidak mahu lagi mengguna nama kerajaan PN, bahkan Ismail Sabri turut dilaporkan bersetuju dengan panduan MT UMNO agar nama kerajaan “Keluarga Malaysia” atau “Kerajaan Malaysia” digunakan dibawah kepimpinannya, menukar Speaker Parlimen adalah salah satu syarat wajibnya.

Ini kerana Azhar adalah Speaker bagi kerajaan PN sebelum ini dan mengekalkan lagi beliau hanya memperlihatnya lekehnya Ismail Sabri yang seolah-olah sengaja mahu terus dibayangi imej kerajaan lama pimpinan Mahiaddin.

Meskipun Azhar tidak berjiwa besar dengan tidak mahu meletakkan jawatan dan masih mengharapkan beliau dikekalkan di jawatan itu, Ismail Sabri dan UMNO tidak harus ada perasaan simpati terhadapnya.

Ismail Sabri mesti lebih simpati kepada nasib dan kedudukan mereka berbanding simpati kepada Azhar.

Azhar pada 27 Ogos lalu dilaporkan berkata, beliau menyerahkan kepada Ismail Sabri menentukan kedudukannya sama ada khidmatnya masih diperlukan sebagai Speaker Parlimen untuk persidangan sesi Dewan Rakyat akan datang atau sebaliknya.

“Saya menjadi Speaker Parlimen adalah atas ihsan majoriti Ahli Dewan Rakyat, terpulang kepada Perdana Menteri yang memimpin majoriti Dewan sekarang ini untuk menentukannya,” kata beliau.

Daripada gaya cakapnya itu ternampak Azhar masih mahu kekal lagi di jawatannya, meskipun dari segi moralnya, oleh Perdana Menteri sudah bertukar daripada Bersatu kepada UMNO, beliau seharusnya secara sukarela meletakkan jawatannya.

Dengan beliau meletakkan jawatan juga, ia akan memudahkan Perdana Menteri mencari calon pengganti.

Tetapi tidak mengapa, berikutan adanya tidak kurang 15 usul menukar Speaker dalam sidang Parlimen akan datang dan sebahagiannya ditolak oleh Timbalan Speaker daripada Bersatu, Rashid Hasnon, jalan mudah yang mesti diambil oleh Ismail Sabri dan UMNO ialah segera mengenalpasti calon Speaker pilihan yang baru.

Harus dipilih seorang Speaker baru yang bukan saja lebih berwibawa, bahkan juga mesti berjiwa UMNO.

Azhar tidak berjiwa UMNO, sebelum beliau diletakkan oleh Mahiaddin sebagai Speaker Parlimen, beliau adalah Pengerusi SPR yang diletakkan di jawatan tersebut oleh Tun Mahathir.

Kalau UMNO dan Ismail Sabri mahu kekal lama menguasai Putrajaya, tidak ada sebab munasabah untuk mereka mengekalkan lagi calon pilihan Presiden Bersatu sebagai Speaker Parlimen. –


 ShahbudinHusin 03/09/2021.



No comments: