Tokoh wartawan dakwa Bersatu akan sokong Zahid kekal Presiden UMNO

 


Tokoh wartawan dakwa Bersatu akan sokong Zahid kekal Presiden UMNO


Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agungnya, Hamzah Zainuddin akan terus menyokong Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden Umno, kata wartawan veteran Kadir Jasin.

Kadir berkata oleh sebab itu Muhyiddin dan Hamzah mencipta pelbagai alasan bagi menggagalkan pendaftaran Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Muda.

Katanya, dengan mengekalkan Ahmad Zahid, ia akan dapat melemahkan Umno dan memastikan parti itu kekal dalam Perikatan Nasional (PN).

“Mahiaddin (Muhyiddin) dan Hamzah ‘kenal’ siapa Ahmad Zahid dan mereka mempunyai kuasa memastikan dia tidak belot terhadap PN. Tengok sajalah macam mana Ahmad Zahid membuat ‘U-turn’ terhadap sokongannya kepada Anwar Ibrahim akhir tahun lalu.

“Buat masa ini, Ahmad Zahid menikmati kebebasan daripada cengkaman Mahiaddin dan Hamzah dengan berselindung di sebalik kekuatan kumpulan yang mendesak supaya parlimen dipulihkan segera seperti dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu pada 16 Jun lalu.

“Umno adalah antara parti yang paling nyaring mendesak agar Mahiaddin mentaati titah di-raja itu. Natijahnya, Umno akan terus berpecah belah dan lemah selagi Ahmad Zahid menerajuinya,” katanya dalam catatan di Facebook hari ini.

Kadir merupakan penyokong setia kepada bekas perdana menteri yang juga bekas pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad.

Kedua-dua tokoh itu diketahui umum tidak sehaluan dengan Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Akibat krisis politik yang berlaku pada Februari 2019, Mahathir bertindak meletakkan jawatan sebagai perdana menteri apabila Muhyiddin yang juga presiden Bersatu ketika itu memutuskan parti itu keluar daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, kumpulan pro-Mahathir dan PKR gagal mencapai kata sepakat mengenai calon perdana menteri seterusnya, menyebabkan Yang di-Pertuan Agong memilih Muhyiddin sebagai perdana menteri kelapan.

Selepas berlaku krisis politik tersebut, Bersatu yang dipimpin Muhyiddin bersama Umno dan PAS membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN). Namun hubungan antara Umno dan Bersatu kemudiannya mulai retak menanti belah.

Pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) Mac lalu, Umno memberi bayangan bakal meninggalkan kerajaan PN pada bulan Ogos nanti.

Umno baru-baru ini juga memberikan tekanan kepada Muhyiddin agar mengadakan segera sidang parlimen seperti yang dititahkan Agong.

Selain itu, sebelum ini timbul spekulasi bahawa Anwar merancang untuk mengadakan kerjasama dengan Zahid dan bekas presiden Umno, Najib Razak.

Anwar baru-baru ini berkata PKR tidak boleh “terlalu keras” dan menolak segala bentuk kerjasama dengan mana-mana parti politik, sama ada daripada pembangkang atau PN.

‘Halal dan haram bukan pertimbangan mereka’

Mengulas lanjut, Kadir berkata Muhyiddin dan Hamzah bercita-cita besar menjadikan Bersatu sebagai parti Melayu-Islam terbesar menggantikan Umno selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Cita-cita mereka sudah separuh berjaya dengan menjadi parti tunjang Perikatan Nasional (PN).

“Halal atau haram, sah atau tidak bukanlah pertimbangan utama mereka. Yang penting mereka sudah berjaya menubuhkan kerajaan dan dengan itu boleh melaksanakan ‘scheme of things’ mereka.

“Tidak ada parti politik yang mahu pesaingnya kuat apatah lagi Bersatu yang cita-cita besarnya adalah mengambil alih peranan Umno sebagai parti dominan Melayu-Islam,” katanya.

No comments: