JANGAN DOK KONAR BARING LAGI LA…


Bob Kelanang

Pada 16 Jun lalu Yang di-Pertuan Agong menzahirkan pandangan bahawa parlimen perlu bersidang segera.Titah tersebut bagaimanapun menimbulkan persoalan undang-undang penting: adakah dalam tempoh darurat, baginda terikat kepada nasihat perdana menteri termasuk berkaitan sidang parlimen.


Hal itu kerana Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan Agong bertindak atas nasihat Perdana Menteri. Maka adakah pernyataan tersebut terikat dengan nasihat berkenaan?


Bagi menjawab persoalan ini, adalah perlu untuk kita merujuk kepada peruntukan Seksyen 14 (1) (b) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 secara in verbatim menyatakan:


“Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong”.


Peruntukan ini sangat jelas dan tiada kekaburan (unambiguous) bahawa kuasa mutlak terletak pada Agong untuk memanggil sidang Parlimen. Maka dekri Agong itu adalah sah.


Namun keadaan ini mewujudkan percanggahan undang-undang kerana perlembagaan menyatakan Agong bertindak atas nasihat perdana menteri tetapi Ordinan Darurat memberikan kuasa kepada baginda untuk memanggil sidang parlimen. Maka apabila berlaku percanggahan di antara peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan Ordinan Darurat, undang-undang manakah yang mengatasi dan terpakai?


Jawapannya ialah Ordinan Darurat mengatasi dan terpakai. Justeru Agong berkuasa mutlak memanggil sidang parlimen tanpa terikat dengan nasihat Perdana Menteri berdasarkan peruntukan undang-undang berikut:


i) Perkara 150 (6) dan (6A) Perlembagaan Persekutuan menyatakan mana-mana peruntukan dalam Akta Parlimen yang diluluskan sebagai undang-undang darurat tidak dianggap batal walaupun bertentangan dengan perlembagaan kecuali berkaitan perkara agama, adat istiadat Melayu, bumiputera Sabah dan Sarawak, kewarganegaraan atau bahasa.


ii) Mahkamah Persekutuan dalam kes Eng Keok Cheng lwn Pendakwa Raya memutuskan bahawa Akta Darurat (1964) adalah sah dan mengatasi perlembagaan. Dalam kes ini, tertuduh didapati bersalah memiliki senjata api dan dihukum gantung mengikut Akta Darurat (1964). 


Hujah bahawa Akta Darurat ini tidak sah kerana bertentangan dengan Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan tidak diterima panel hakim Mahkamah Persekutuan dan mereka memutuskan semasa darurat, apa sahaja undang-undang boleh dibuat walaupun bertentangan dengan perlembagaan.


Berdasarkan hujah di atas saya berpendapat bahawa dekri Agong bahawa parlimen perlu dipanggil bersidang segera hendaklah dilaksanakan secepat mungkin oleh kerajaan PN sebagai badan eksekutif mengikut Ordinan Darurat (2021). Dekri Agong bahawa sidang Parlimen dipanggil "secepat mungkin" adalah jelas dan tidak mempunyai maksud berlainan (unambiguous).


Oleh itu, menurut Peraturan 11 (2) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, perdana menteri sebagai ketua majlis mesyuarat hendaklah memberikan notis penetapan tarikh sidang parlimen tanpa sebarang kelengahan. Jika tidak, PN bukan sahaja dilihat kerajaan gagal, tetapi derhaka kepada dekri Agong. - Faiz Fadzil.mk

 

No comments: