Ahmad Maslan sifatkan tempoh 14 hari untuk panggil Parlimen bersidang “keputusan besar dibuat bersama”

 

Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan.

PETALING JAYA: Tempoh 14 hari yang diberikan Umno kepada kerajaan untuk membuka semula Parlimen adalah keputusan besar parti dibuat “secara bersama”, kata Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan.

Beliau berkata mesyuarat biro politik pada Ahad lalu yang membuat keputusan itu disertai oleh hampir semua ahlinya.

“Mesyuarat Biro Politik secara maya…dihadiri oleh 25 daripada 26 orang kecuali 1 naib presiden (Mahdzir) yang kurang sihat,” kata Ahmad di Twitter.

“Pada Isnin, presiden (Ahmad Zahid Hamidi) keluarkan kenyataan media berhubung keputusan mesyuarat. Gaya Zahid adalah keputusan besar dibuat secara bersama,” tambah Ahmad.

Kenyataan beliau itu sekali gus membayangkan bahawa naib presiden parti Ismail Sabri Yaakob hadir pada mesyuarat itu.

Pagi tadi, Ismail Sabri berkata tempoh 14 hari untuk panggil Parlimen bersidang’ itu “pandangan” biro politik Umno, bukan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

“Jadi Umno berpandangan perlu cepat 14 hari, itu biro politik Umno, bukan MKT, dari biro politik (ia) hanya mencadangkan, tapi MKT akan memutuskan,” kata Ismail.

Bekas menteri besar Perlis, Shahidan Kassim, juga dilihat meremehkan keputusan biro politik itu dengan menegaskan sebarang notis memanggil sidang Parlimen perlu dibuat dalam tempoh 28 hari, bukannya 14 hari seperti yang diinginkan Zahid.

“Kami bersetuju Parlimen disegerakan tapi ikut notis. Notis adalah 28 hari, bukan 14 hari (dan) itu sebenarnya tidak tepat,” katanya dalam kenyataan.

Semalam Zahid dilaporkan berkata, Umno memberi tempoh 14 hari kepada kerajaan bagi membuka Parlimen susulan pandangan Yang di-Pertuan Agong bahawa Parlimen harus bersidang secepat mungkin.

Zahid berkata, kegagalan kerajaan berbuat demikian akan mendorong parti itu mengadakan mesyuarat khas Majlis Kerja Tertinggi bagi mengambil tindakan sewajarnya.

No comments: