Gempar! Total Lockdown kemungkinan besar disambung lagi

 


Gempar! Total Lockdown kemungkinan besar disambung lagi


Pelaksanaan sekatan pergerakan penuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 atau total lockdown yang dijangka berakhir 28 Jun ini berkemungkinan besar perlu disambung dengan syarat ia dimodifikasi dan ditambah baik mengikut keperluan semasa.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Jabatan Mikrobiologi Perubatan, Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Malina Osman berkata, pelaksanaan sekatan pergerakan penuh dilihat kurang memberi kesan yang diharapkan sebagaimana PKP 1.0 disebabkan pecahan kes jangkitan Covid-19 tinggi di Selangor serta kewujudan banyak kluster tempat kerja terutama kluster kilang industri.

Jelas beliau, pelaksanaan sekatan pergerakan penuh bukan sebenar-benarnya mencapai objektif ‘total lockdown’ sebagaimana PKP 1.0 kerana sektor perkilangan dilihat masih beroperasi secara menyeluruh dengan risiko 1.5 juta pekerja yang belum divaksin.

“Kes jangkitan Covid-19 masih mencatatkan jumlah tinggi susulan langkah kerajaan negeri Selangor melaksanakan saringan Covid-19 percuma secara besar-besaran yang membawa pecahan kes tinggi di negeri itu serta peningkatan kewujudan kluster tempat kerja.

“Dengan kadar kematian masih dicatatkan sekitar purata 60 hingga 70 hari, saya berpandangan ‘total lockdown’ mungkin perlu diteruskan dengan sedikit modifikasi dari aspek kawalan penularan di tempat kerja serta kajian semula strategi saringan besar-besaran,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Beliau mengulas kebimbangan ramai pihak terhadap keberkesanan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh PKP 3.0 susulan jumlah kes jangkitan Covid-19 meningkat kepada lebih 6,000 kes.

Peningkatan semula jumlah kes jangkitan itu amat mengejutkan memandangkan kerajaan sudah melaksanakan sekatan pergerakan penuh selama tiga minggu dan keputusan itu sepatutnya memberi kesan positif terhadap usaha membendung penularan Covid-19.

Pada Ahad, kes harian positif Covid-19 menurun kepada 5,293 kes pada Ahad berbanding 5,911 kes pada Sabtu dan 6,440 pada Jumaat.

Mengulas mengenai peningkatan kluster tempat kerja, Dr Malina mencadangkan agar kerajaan memberi keutamaan pemberian vaksin kepada golongan pekerja perkhidmatan perlu, warga emas, pelajar menduduki peperiksaan utama serta kelompok berisiko Covid-19.

Jelas beliau, fokus itu amat penting memandangkan majoriti golongan pekerja sektor khidmat perlu ini kebiasaannya menjadi punca penularan jangkitan kepada keluarga dan komuniti.

“Kerajaan perlu meneliti semula definisi sebenar perkhidmatan perlu atau kritikal itu kerana bagi saya, golongan pekerja tergolong bukan sektor khidmat perlu, mereka juga perlu bekerja untuk menyara kehidupan keluarga dan tidak boleh dianggap kelas kedua,” katanya.

Sementara itu, bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berpandangan bahawa kerajaan tidak perlu meneruskan sekatan pergerakan penuh setelah tempoh pelaksanaannya berakhir 28 Jun ini.

Sebaliknya, beliau berkata, kerajaan sudah boleh menumpukan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan berisiko tinggi Covid-19 atau kawasan yang mencatatkan angka penularan tinggi.

“Tempoh empat minggu pelaksanaan sekatan pergerakan penuh tidak boleh dianggap tidak berkesan sepenuhnya, meskipun kadar penurunan kes masih tidak begitu memuaskan sebagaimana PKP 1.0.

“Kalau kita lihat, kluster dalam kalangan komuniti turun mendadak, cuma kluster tempat kerja terutama daripada kilang yang masih tinggi.

“Saya berharap pada akhir Jun ini, jumlah kes jangkitan akan menurun kepada angka lebih baik kurang daripada 3,000 kes dan saya yakin kita masih mempunyai masa untuk mencapainya,” katanya.

Boon Chye yang juga Ahli Parlimen Gopeng itu berkata, tempoh pelaksanaan sekatan pergerakan penuh selama sebulan sepatutnya memberikan maklumat sains dan data mencukupi kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam mengenal pasti lokasi dan faktor tercetusnya kluster baharu Covid-19

No comments: