Lantik guru tanpa kemahiran umpama ajar di pusat tuisyen, kata bekas pengarah

 

Antara mata pelajaran dikesan mengalami kekurangan guru di sekolah rendah adalah Bahasa Inggeris, Sejarah, Pendidikan Khas, Pendidikan Agama Islam serta Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

KOTA KINABALU: Bekas pengarah pendidikan Sabah, Jame Alip berkata, pelantikan guru tanpa kemahiran dan ilmu pedagogi umpama guru mengajar di pusat tuisyen, bukannya di sekolah.

Katanya, pelantikan guru tanpa kemahiran itu juga boleh menjejaskan kualiti pengajaran dan pembelajaran (PdP), termasuk pengurusan bilik darjah serta murid.

“Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada menteri dan Kementerian Pendidikan (KPM) atas keprihatinan serta ambil peduli terhadap masalah kekurangan guru opsyen yang dihadapi sekolah sejak dulu dan ada kalanya bilangan guru lebih di sekolah tertentu, tetapi tidak memenuhi opsyen diperlukan.

“Kita belum pasti prosedur dan perancangan jangka panjang untuk bakal guru yang dilantik secara ‘one-off’ seperti diumumkan. Adakah kaedah sama dibuat seperti sebelum ini, iaitu KPM pernah melantik guru sandaran tidak terlatih dan guru interim, kemudian mereka wajib menghadiri kursus setiap cuti semester di IPG (Institut Pendidikan Guru) tertentu dalam masa ditetapkan untuk melengkapkan mereka sebagai guru terlatih.

Bekas pengarah pendidikan Sabah, Jame Alip

”Adalah kurang profesional dalam bidang perguruan, jika seseorang yang dilantik menjadi guru tanpa mempunyai kemahiran dan ilmu pedagogi, ibarat kata seorang ilmuan, guru yang tiada ilmu pedagogi umpama guru mengajar di pusat tuisyen…ia boleh menjejaskan PdP, termasuklah pengurusan bilik darjah dan murid,” katanya kepada FMT.

Ahad lalu, Menteri Pendidikan Radzi Jidin berkata, KPM akan membuat pengambilan khas guru secara “one-off” bagi mengisi kekosongan guru di seluruh negara, khasnya di Sabah, Sarawak, Johor dan Selangor yang akan membabitkan pengambilan 18,702 pegawai perkhidmatan pendidikan gred DG41.

Katanya, langkah itu adalah perancangan KPM di bawah Pelan Pemulihan Negara susulan kekurangan calon guru dari IPG, selain ketidaksepadanan opsyen untuk mata pelajaran tertentu.

Beliau berkata, antara mata pelajaran dikesan mengalami kekurangan guru adalah Bahasa Inggeris, Sejarah, Pendidikan Khas, Pendidikan Agama Islam serta Teknologi Maklumat dan Komunikasi di sekolah rendah, manakala Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Khas, Pendidikan Agama Islam serta Reka Bentuk dan Teknologi di sekolah menengah.

Jame berkata, lebih baik KPM melantik siswazah tamat pengajian dalam aliran pendidikan, sebelum melaksanakan dasar pelantikan guru secara “one-off” kerana ia sekurang-kurangnya boleh mengurangkan pengangguran dalam kalangan mereka.

“Saya difahamkan masih ramai guru siswazah, mungkin ratusan atau ribuan yang terlatih dan memiliki ijazah sarjana muda pendidikan dari IPG dan universiti awam atau swasta yang menamatkan pengajian mereka, tetapi belum dilantik Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP), walaupun telah memohon.

”Semoleknya sebelum dasar KPM melantik guru secara ‘one-off’ dilaksanakan, lebih baik mereka melantik siswazah telah tamat pengajiannya dalam aliran pendidikan itu,” katanya.

Jame yang pernah berkhidmat 38 tahun dalam bidang perguruan dan pendidikan turut mencadangkan KPM tidak menutup mana-mana cawangan IPG di seluruh negara yang mampu menangani kekurangan guru opsyen di sekolah, jika isu itu dianggap kritikal.

“Lebih baik meneruskan dasar IPG dulu agar peranan institut berkenaan dan rohnya berterusan, dengan mengekalkan fungsi cawangan IPG untuk melatih bakal warga guru terlatih.

“Semua pensyarah yang ada di IPG berpengalaman, bukan saja menguasai isi kandungan subjek, tetapi juga dari aspek ilmu pedagogi dan pengalaman mengajar sebagai guru terlatih, sama ada pernah berkhidmat di bandar, luar bandar atau pedalaman.”

Bagi menangani isu kekurangan guru opsyen, katanya, pihak berkepentingan seperti Bahagian Pendidikan Guru (BPG), IPG, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta persatuan guru perlu berbincang kerana mereka lebih memahami masalah di peringkat akar umbi.

“Kita tidak mahu strategi pengambilan guru secara ‘one-off’ ini dipandang seolah-olah bertujuan mengatasi lambakan siswazah yang sedang menganggur.”

No comments: