Keperluan ziarah ibu bapa melebihi penuhi undangan artis – Mufti Perlis
WARTAWAN MALAYSIA GAZETTE
Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin
KUALA LUMPUR – Mufti Perlis Datuk Dr Mohd. Asri Zainul Abidin
berpendapat, keperluan menziarahi ibu bapa mengatasi keperluan yang lain.
Menerusi hantaran di Twitter miliknya, beliau berkata, ia
termasuk melebihi keperluan memenuhi undangan artis.
“Saya rasa jika hendak dibandingkan pasti keperluan menziarahi
ibu bapa melebihi dari keperluan memenuhi undangan artis,” tulisnya.
Namun tidak dapat dipastikan hantaran Mohd. Asri itu ditujukan
kepada sesiapa.
Hari ini, penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza
menjelaskan tiada sebarang aktiviti rentas negeri berlaku melibatkan seorang
pendakwah bebas dari negeri lain sebagai tetamu pada majlis tahnik anak
keduanya baru-baru ini.
Sebaliknya Siti berkata, individu itu bersetuju untuk hadir
kerana kebetulan dia memang berada di Kuala Lumpur pada tarikh majlis itu
diadakan.
“Sebaliknya beliau hanya singgah bagi menyempurnakan bacaan doa
dan tahnik sahaja sebelum terpaksa bergegas pulang untuk urusan lain.
“Sebagai rakyat Malaysia yang patuh pada undang-undang dan peka
dengan situasi semasa, kami tidak pernah memandang ringan mengenai hal ini dan
selagi berada dalam kawalan, kami cuba untuk mematuhinya semampu mungkin,”
katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini