Gaji minimum bermula RM1,500, MTUC ulangi saranan

 

Faiz Zainudin
 -

facebook sharing button 
twitter sharing button 
whatsapp sharing button 
email sharing button 
MTUC menggesa kerajaan menguatkuasakan Akta Kerja 1955 untuk memastikan ia dipatuhi majikan.

PETALING JAYA: Dalam menyokong usaha kerajaan mengkaji semula gaji minimum, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menegaskan pendiriannya bahawa gaji minimum perlu bermula pada RM1,500, dengan ditambah elaun kos sara hidup (COLA) setiap bulan.

“Sebelum ini, kami menyuarakan supaya gaji minimum bermula RM1,500 dan kita juga menggesa kerajaan memberi elaun COLA sebanyak RM300.

“Jadi pekerja akan menerima RM1,800. Pendirian kami mengenai cadangan itu masih kekal,” kata Timbalan Presidennya, Mohd Effendy Abdul Ghani, kepada FMT.

Kata beliau, kadar tersebut adalah munasabah dan ia wajar dipertimbangkan berdasarkan beberapa kajian yang dibuat sebelum ini, termasuk oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), yang menunjukkan 60% isi rumah hidup dengan gaji rendah.

“Malah kalau tidak silap saya BNM juga memaklumkan bahawa kesesuaian untuk hidup di Lembah Klang dan Kuala Lumpur memerlukan gaji RM2,700,” kata beliau.

Namun, kata Effendy, pihaknya faham akan situasi negara sekarang yang mengalami kebantutan ekonomi akibat krisis Covid-19.

Maka, perbincangan menyeluruh melibatkan semua pihak perlu dilakukan bagi memastikan keputusan menang-menang dicapai, tambah beliau.

“Kita mahu situasi menang-menang. Kami faham, dalam situasi ini, kedua-dua majikan dan pekerja turut terkesan,” kata beliau.

Effendy turut menggesa kerajaan menguatkuasakan Akta Kerja 1955 untuk memastikan ia dipatuhi majikan.

“Dari segi pelaksanaan gaji (minimum), kita tidak tahu sejauh mana ia dipatuhi majikan, sama ada 100% atau sebaliknya.

“Jadi kerajaan perlu kaji semula, contohnya seperti Akta Kerja 1955. Mana-mana majikan yang tidak mematuhi atau melanggarnya hendaklah dianggap melakukan jenayah,” kata beliau.

Effendy berkata demikian mengulas ucapan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sempena sambutan Hari Pekerja 2021 bahawa kerajaan sedang mengkaji semula dasar gaji minimum pada tahun lalu dalam usaha memastikan ia kekal relevan.

Muhyiddin berkata, kajian semula penggajian itu adalah salah satu daripada tiga strategi yang digariskan tahun lalu untuk menangani masalah pengangguran akibat wabak Covid-19.




No comments: