#KERAJAANGAGAL ADALAH KERAJAAN YANG DIKETUAI PM YANG LEMBAB

 

Hari ini sudah masuk hari ketiga sejak Ketua Polis Negara yang akan bersara, Hamid Bador menyerang kerajaan PN dengan amalan lompat parti yang dikaitkan dengan rasuah dan dakwaannya berkaitan campurtangan Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin dalam pasukan polis.

Tetapi, sehingga sekarang belum ada sebarang jawapan atau penjelasan daripada Perdana Menteri, Mahiaddin Md Yassin dan Hamzah sendiri berkaitan dakwaan Hamid yang menggegarkan negara itu.

Sesungguhnya inilah kelemahan paling ketara kerajaan PN sekarang di mana kita mempunyai seorang Perdana Menteri yang tidak berani tampil bersuara untuk menjawab segala dakwaan atau tuduhan yang ditujukan kepadanya.

Sebenarnya bukan dalam isu Hamid Bador ini saja Mahiaddin tiada keberanian mengeluarkan suaranya, malah dalam banyak isu lain pun memang itulah perangainya.

Semua isu hanya dibiarkan berlalu begitu juga tanpa jawapan sehingga kemarahan rakyat terus terpendam menjadi barah yang tiada ubatnya lagi.

Sebab itu kerajaan PN ini dikatakan #KerajaanGagal dan ia gagal dalam semua aspek pengurusannya.

Daripada gagal membuktikan keabsahan, menangani Covid19, mengurus jadual persekolahan, memastikan bantuan, waima semurah pelitup muka yang dijanjikan benar-benar dipenuhi dan sampai kepada rakyat, darurat yang caca-marba, PKP separuh masak dan sehinggalah kepada melonjakkan ekonomi serta pelaburan, semuanya hanya mempunyai cop kegagalan.

Ditambah dengan Mahiaddin yang merupakan Perdana Menteri paling lemah dan lembab dengan tidak mampu tampil menjawab atau menjelaskan isu-isu yang berlaku dalam negara, itulah kegagalan paling pokok kerajaan PN ini.

Sebagai ketua kerajaan, beliau mesti aktif, pantas dan ada keberanian menjawab semua isu yang berlaku kerana itulah antara kerja utama seorang Perdana Menteri.

Perdana Menteri ibarat jenderal perang dan jenderal perang tidak boleh seorang yang bisu, penakut atau sering bersembunyi di balik pintu.

Jenderal perang mesti menampakkan wajahnya, suaranya mesti selalu didengar dan arahannya harus jelas serta nyaring.

Jika Tun Mahathir Mohamad atau Anwar Ibrahim yang menjadi Perdana Menteri ketika ini, sudah pasti kita akan dapat mendengar jawapan yang meyakinkan dan menjadi tajuk berita utama atas semua isu yang sedang berlaku sekarang ini.

Bahkan, Tun Abdullah Badawi dan Najib Razak pun ketika menjadi Perdana Menteri, setidak-tidaknya mereka berani juga bersuara menjawab sebahagian isu yang timbul.

Malangnya, di era Mahiaddin ini semua itu usah diharap akan berlaku, sebaliknya dalam diam-diam dan tidak bersuaranya beliau itu, pantas pula meminda undang-undang untuk membolehkan kerajaan membelanjakan wang negara tanpa membentangkannya ke Parlimen dan mengorek dana amanah KWAN, suatu perkara yang tidak pernah dilalukan oleh mana-mana Perdana Menteri sebelum ini.

Jika Mahiaddin tidak mampu seberani Tun Mahathir atau sepetah dan segarang Anwar dalam berhujah dan menjawab soalan, sekurang-kurangnya berani berhadapan untuk bersoal jawab dengan media pun sudah dikira memadai.

Disebabkan semua itu tidak mampu dilakukannya dan peranannya tidak ternampak seperti jenderal perang, sebab itu perutusan khasnya tidak lagi menjadi perhatian dan telah bertukar menjadi cemuhan yang merata.

Lebih-lebih lagi dalam serangan dan dakwaan yang dibuat oleh Hamid Bador, berdiam diri dan lembabnya Mahiaddin untuk menjawabnya bukan saja menunjukkan kegagalan sebuah kerajaan, bahkan dakwaan itu terbukti banyak kebenarannya.

Tambahan pula kerana Hamid Bador adalah ketua sebuah jentera paling penting dalam kerajaan, berdiam dirinya Mahiaddin untuk menjawab segala tuduhan dan dakwaan yang dibuatnya hanya melayakkan kerajaan PN ini didiamkan terus buat selama-lamanya bila tiba waktunya nanti. 

(ShahbudinHusin 03/05/2021)



No comments: