Selepas Ezam dan Ibrahim Ali, MB Selangor juga akan lawan Azmin di Gombak

 


Selepas Ezam dan Ibrahim Ali, MB Selangor juga akan lawan Azmin di Gombak


Parlimen Gombak dijangka akan menyaksikan pertembungan antara Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan bekas penyandang jawatan itu, Azmin Ali dalam pilihan raya umum akan datang (PRU15).

Jangkaan itu dibuat berdasarkan data yang dikumpul sebuah badan bukan kerajaan (NGO), KUASA, yang turut melancarkan laman sesawang bagi membantu orang awam mendapatkan maklumat menjelang PRU15.

Dalam sidang media hari ini, Presiden KUASA Praba Ganesan berkata, pertembungan kerusi Parlimen Gombak itu adalah salah satu perkembangan penting tentang PRU15 yang diperoleh NGO itu berdasarkan kajian.

“Penyandang (kerusi Parlimen Gombak) Azmin boleh menjangkakan persaingan daripada Umno dan PKR kerana terdapat spekulasi bahawa Amirudin akan bertanding kerusi itu,” kata beliau.

Amirudin sebelum ini dikatakan adalah sekutu Azmin sebelum Azmin melompat ke parti PPBM tahun lalu. Azmin kini adalah seorang menteri kanan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Dengan situasi Umno dan PPBM yang berpecah, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin juga dijangka berdepan persaingan sengit daripada Timbalan Menteri Dalam Negeri Ismail Mohamed Said dari Umno bagi kerusi Parlimen Pagoh.

“Bagi kerusi Parlimen Lembah Pantai, Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil dijangka berdepan Ketua Umno Bahagian Lembah Pantai Ramlan Askolani, selain kemungkinan kemunculan mengejut Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz yang mungkin turut bertanding,” kata beliau.

Bercakap mengenai keperluan laman web seperti yang baru dilancarkan NGO tersebut, Praba berkata, kebanyakan rakyat masih tidak tahu siapa calon yang akan bertanding di kawasan mereka walaupun setelah hari penamaan calon.

“Ini bermakna, rakyat ada kira-kira lapan hingga 10 hari sebelum hari pengundian untuk mengenali calon yang bertanding di kawasan mereka, masa yang terlalu singkat untuk membuat keputusan siapa calon terbaik untuk mewakili mereka,” kata beliau.

Tambah beliau, laman sesawang KUASA itu akan menyediakan maklumat terperinci mengenai kawasan-kawasan pilihan raya, termasuk calon yang pasti mahupun yang diura-urakan, berdasarkan laporan berita dan sumber dalaman parti, selain media sosial, sebelum hari pencalonan.

Kata beliau, pautan untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung calon, parti bertanding dan isu berkaitan turut disediakan, dan beliau percaya maklumat awal seperti ini dapat memberi peluang kepada pengundi memberi maklum balas kepada parti-parti bertanding tentang calon mereka.

“Ahli parti juga boleh menggunakan maklumat di laman sesawang kami kerana perbincangan mengenai calon dan rundingan agihan kerusi biasanya tidak didedahkan kepada mereka,” kata beliau.

Menurut Praba, laman sesawang itu setakat ini hanya menyediakan maklumat mengenai pertandingan di 20 kawasan Parlimen disebabkan sumber yang terhad, namun di masa hadapan, maklumat tentang lebih banyak kerusi akan tersedia, termasuk di Sabah dan Sarawak.

Laman sesawang berkenaan, mykuasa.org/pru15, akan mula beroperasi pada tengahari Rabu ini.



No comments: