TERKINI - KESELURUHAN CABANG DI NEGERI PAHANG MELULUSKAN USUL TOLAK KERJASAMA POLITIK DENGAN TUN DR MAHATHIR DAN PEJUANG

 

Bermula bulan Mac 2021 yang lalu adalah tempuh bagi 14 Cabang di seluruh Pahang untuk mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) masing-masing sebelum tarikh tutup pada 02 Mei 2021. 


Di Pahang, MATC bermula pada 27 Mac 2021 dengan dua Cabang  iaitu Kuantan dan Temerloh memulakannya  dengan diikuti oleh Cabang-Cabang yang lain mengikut tarikh dan notis yang dikeluarkan oleh Cabang-Cabang berkenaan.  Cabang terakhir melaksanakan MATC adalah Cabang Cameron Highland yang baru sahaja hari ini, Ahad (11 April 2021) mereka selesai melaksanakannya.


Apa yang menarik di dalam MATC kali ini adalah usul berkaitan kerjasama politik dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan parti Pejuang menjadi perhatian di semua Cabang.  Kesemua 14 Cabang meletakkan usul mendesak Parti Keadilan Rakyat menolak sebarang kerjasama politik dengan Tun Dr Mahathir dan partinya, Pejuang sebagai usul utama.  Seperti yang dijangka, usul ini tidak perlu dibahas panjang lebar, terus mendapat sokongan sebulat suara dari semua ahli di setiap Cabang.


Maksudnya, seratus peratus Cabang di Pahang menolak kerjasama politik dengan Tun Dr Mahathir dan partinya Pejuang dan mereka mahukan Parti Keadilan Rakyat di peringkat Pusat membenarkan usul ini dibahaskan di Kongres Nasional nanti agar parti dapat membuat keputusan yang jelas dalam isu ini.


Keadilan Pahang menyokong kesemua ketetapan yang dipersetujui di dalam Retreat PH di Port Dickson baru-baru ini, berhubung dengan kerjasama dengan mana-mana pihak, asalkan menerima prinsip PH termasuk agenda reform yang ingin dibawa.


Kecuali, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Pejuang, kerana kita dapat melihat sendiri bagaimana Tun Dr Mahathir sewaktu diberi peluang untuk menjadi ketua kerajaan di dalam PH, beliau langsung tidak  menunjukkan minat bagi melaksanakan agenda reformasi yang kita janjikan kepada rakyat.  Beliau tidak percaya kepada janji-janji di dalam manifesto PH, bahkan beliau memperlekehkannya dengan menyatakan manifesto bukan kitab suci.  


Rata-rata ahli Keadilan menganggap punca kejatuhan kerajaan PH pada Februari tahun lalu adalah kerana niat Tun Dr  Mahathir sendiri untuk neruntuhkan kerajaan PH yang telah mengangkatnya sebagai PM bagi menghalang Anwar Ibrahim menjadi PM berikutnya seperti yang dijanjikan.  Perletakan jawatannya tanpa berbincang dengan Majlis Presiden PH nerupakan satu bukti kukuh akan nawaitunya.  Keengganan beliau menerima nasihat Agung agar beliau tidak meletakkan jawatan menunjukkan bahawa beliau memang serius untuk menjatuhkan kerajaan PH, kerajaan yang rakyat beri mandat pada PRU14 yang lalu.  Akhirnya, hasil dari peluang dan ruang yang diberikan oleh Tun Dr Mahathir, maka memudahkan puak pengkhianat masuk dan merampas Putrajaya dari tangan PH.


Keadilan, bahkan PH itu sendiri wajar menjauhkan diri dari Tun Dr Mahathir.  Beliau sendiri sebut sewaktu menubuhkan Pejuang, iaitu Pejuang tiada kaitan dengan PH.  Pejuang akan membuat keputusan sendiri untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak selepas PRU nanti.  Apakah parti seperti ini akan memperkuatkan PH? Parti seperti ini akan menjadi 'api dalam sekam'.


Pejuang juga diura-urakan akan mengadakan gabungan baru bersama Warisan dan Muda.  Justeru itu, PH perlu bersedia dan memperkukuhkan kerjasama di antara tiga parti yang ada tanpa mengharap dan bergantung lagi dengan Tun Dr Mahathir. 


Penolakan total kesemua Cabang di Pahang terhadap Tun Dr Mahathir dan Pejuang amat membanggakan.  Sikap berani membuat keputusan oleh kesemua Cabang di Pahang mudah-mudahan diikuti oleh kesemua 222 Cabang di seluruh negara.


Syabas Keadilan Pahang!!


WFAUZDIN NS




No comments: