Keyakinan Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bahawa perbualan mirip suara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi sebagai rakaman sahih disambut cemuhan warganet.
Rata-rata menganggap Azmin yang juga bekas Timbalan Presiden PKR itu seolah-olah tidak sedar diri dengan pengkhianatan yang dilakukan terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) menerusi Langkah Sheraton.
“Kita perlu percaya kata Azmin. Beliau adalah pakar dalam bidang pengkhianatan,” sinis Nafis Ammar.
Ada juga netizen menyorot kembali kisah pengkhianat Si Kitol yang menjadi punca kepada kejatuhan Empayar Kesultanan Melayu Melaka.
“Apabila Si Kitol berbicara tepuk air di dulang percik muka sendiri. Ketakutan yang amat sangat tidak merasa jawatan TPM (Timbalan Perdana Menteri),” tempelak Adam Azam.
Sementara itu, Faris Zul meninggalkan komentar, “Pengkhianat berbicara tentang khianat” manakala Marcus Kutan pula berkata, “Berucap sambil tengok cermin, yang dilihat diri sendiri, yang dikata diri sendiri.”
Dalam masa sama, ramai mengungkit kembali kontroversi video intim yang tular pada Jun 2019 dengan bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz mengaku dia adalah salah seorang daripada individu dalam video itu.
“Kami yakin anda melakukan aksi-aksi menarik dalam video yang tulen itu dan kami pun tahu betapa pengkhianat besar awak ini,” bidas Waran Sanmugam.
Bagi Abd Aziz Md Yusop pula, Anwar yang juga Pengerusi PH itu tidak mengkhianati parti dengan lompat parti.
“Jangan tuduh orang lain. Suluh dan pandang diri itu depan cermin. DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim) baru audio tapi macam mana dengan video? Dah terang atau masih samar-samar lagi,” perlinya.
Terdahulu, Azmin yang percaya rakaman audio tular tersebut adalah suara Anwar memberitahu keyakinannya itu bersandarkan pengalamannya ketika di dalam PKR.
Bahkan, Pengarah Pilihan Raya PN berkenaan mendakwa Anwar melakukan pengkhianatan besar kepada parti dan anggota komponen PH kerana secara sulit menjalankan rundingan dan perbincangan.