Ketua Penerangan PN, Azmin Ali melahirkan keyakinan rakaman audio yang bocor yang dikatakan perbualan antara Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi dengan Presiden PKR, Anwar Ibrahim adalah rakaman yang sahih.
Katanya, sebagai bekas pegawai yang pernah berkhidmat lama dengan Anwar sebagai Setiausaha Sulitnya, beliau yakin itu adalah suara Anwar.
“Saya sebagai pegawai yang telah berkhidmat dengan beliau (Anwar) sekian lama, saya yakin itu adalah rakaman yang sahih.
“Ia bagaimanapun akan dibuktikan melalui penyiasatan,” tambahnya.
Azmin seterusnya menuntut pihak berkuasa melakukan siasatan segera bagi merungkai kesahihan rakaman audio itu.
“Saya kira ia (proses siasatan) memberikan ruang kepada mana-mana pihak untuk membela diri mereka.
“Kita berharap kedua-dua individu ini jujur, sekurang-kurangnya kepada ahli parti masing-masing,” tambah Menteri Perdagangan dan Industri itu lagi.
Jika begitu alasan atau hujah Azmin, bagaimana jika berkaitan “video Haziq”, Anwar pula melahirkan keyakinan ia juga rakaman yang tulen berdasarkan Ahli Parlimen Gombak itu adalah bekas Setiausaha Sulitnya untuk tempoh yang agak lama.
Kalau disebabkan berkhidmat lama, Azmin kenal suara Anwar, disebabkan berkhidmat lama dengannya juga, sudah tentu Anwar turut kenal rupa wajah Azmin.
Bolehkah jika Anwar berkata, “oleh kerana Azmin adalah bekas pegawai saya dalam tempoh agak lama, meskipun dikatakan video tersebut adalah kabur dan mempunyai resolusi rendah, saya yakin itu adalah dia.”
Dengan hujah sedemikian, apa lagi setelah pasangannya dalam video tersebut telah pun mengaku beliau bersama Azmin dalam rakaman itu, bolehkah bekas Timbalan Presiden PKR yang melompat parti itu dituntut turut berlaku jujur sebagaimana tuntutannya kepada Anwar dan Zahid Hamidi?
Macam mana sekarang, Azmin?
Berani bersuara lagi selepas ini?
(Shahbudindotcom 12/04/2021)