Peja bakal kembali jadi MB Perak: Saya ikut skrip Allah sepenuhnya, kata Saarani

 


Peja bakal kembali jadi MB Perak: Saya ikut skrip Allah sepenuhnya, kata Saarani


“Ini kuasa Allah SWT. Saya ikut skrip Allah sepenuhnya.”

Demikian ujar Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad berhubung kenyataan Ahmad Faizal Azumu yang membayangkan akan kembali menjadi pemimpin nombor satu negeri ini.

Saarani menjelaskan, sesiapa pun boleh menyuarakan pendapat dan pandangan berhubung perkara itu, yang kini tular di media sosial.

“Itu (kenyataan) sesiapa pun boleh buat. Saya tiada komen tentang itu. Sesiapa pun boleh menyuarakan pendapat dan pandangan. Saya tidak boleh kata apa-apa.

“Sebab, saya berpegang kepada ayat Allah. Allah yang ada kuasa pemerintahan dan Dia yang lantik orang itu jadi Menteri Besar, Dia cabut jawatan itu.

“Ini kuasa Allah SWT. Saya ikut skrip Allah sepenuhnya. Tiada masalah tentang itu,” katanya..

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Program Menteri Besar Bersama Rakyat (MESRA) di Parlimen Tanjung Malim, di sini, hari ini.

Terdahulu, Saarani hadir di program Moh Mengopi Bersama MB di Slim River, selain beramah mesra dan bersarapan dengan komuniti setempat.

Baru-baru ini, bekas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu membayangkan akan kembali menjadi pemimpin nombor satu negeri itu selepas meletak jawatan pada 5 Disember tahun lalu.

Perkara itu dinyatakan Ahmad Faizal dalam ucapannya ketika majlis sambutan ulang tahun PPBM (Bersatu) Sabah di Kota Kinabalu. 

No comments: