Geng 24’ Bukit Raja guna wang, pengaruh umpan pelajar jadi ahli, kata polis

 

Ketua Polis Selangor Arjunaidi Mohamed (kanan) menunjukkan gambar ahli ‘Geng 24’ Bukit Raja yang masih diburu polis.

SHAH ALAM: “Geng 24” Bukit Raja menggunakan kemewahan wang ringgit, perlindungan, pengaruh dan kuasa sebagai umpan untuk merekrut pelajar sekolah menengah di sekitar Lembah Klang menjadi ahli kumpulan kongsi gelap itu.

Hal ini didedahkan oleh polis, dengan Ketua Polis Selangor Arjunaidi Mohamed berkata, ramai belia berusia awal 20-an menyertai kumpulan itu selepas tamat persekolahan dan menjalani upacara tradisi gengster, iaitu “sumpah darah”.

Kata beliau, “Geng 24” Bukit Raja kini dianggarkan mempunyai hampir 100 ahli, termasuk remaja yang masih bersekolah (10%), belia 20-an (60%), 30 hingga 40 tahun (20%) dan 40 hingga 50 tahun (10%).

Sumber kewangan utama geng itu, menurut Arjunaidi, diperolehi melalui pelbagai kegiatan jenayah, termasuk samun, pemerasan dan wang perlindungan yang dibayar pusat hiburan.

Beliau berkata, kegiatan licik “Geng 24” Bukit Raja itu terbongkar hasil siasatan ke atas kes pergaduhan membabitkan lebih 40 ahli kongsi gelap dengan pengawal keselamatan di sebuah pusat hiburan di Setia Alam, Shah Alam, pada September tahun lalu.

“Kejadian terbabit berpunca daripada tindakan beberapa lelaki tempatan (ahli kumpulan ‘Geng 24’ Bukit Raja) yang meminta pemilik pusat hiburan terbabit membayar sejumlah wang perlindungan setiap bulan.

“Semasa perbincangan, pemilik premis tidak bersetuju dengan permintaan tersebut, mengakibatkan kumpulan kongsi gelap terbabit menyerang, merosakkan premis, memukul pekerja dan pelanggan,” kata beliau pada sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

Susulan itu, polis melancarkan Ops PD dan menahan 16 individu disyaki terbabit dalam pergaduhan itu, yang juga ahli “Geng 24” Bukit Raja.

“Sehingga kini, polis sudah menangkap 50 ahli ‘Geng 24’ Bukit Raja yang terbabit dengan pelbagai kesalahan jenayah di Lembah Klang.

“Daripada jumlah itu, 19 ahli terbabit, termasuk ketuanya, sudah dihadapkan ke mahkamah atas pelbagai kesalahan jenayah, manakala 20 ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) dan 11 masih direman,” kata beliau.

Arjunaidi berkata, polis masih meneruskan operasi bagi mengesan saki-baki ahli kumpulan kongsi gelap itu.




No comments: