HADI GELABAH BEWAK...TAKUT KECUNDANG DENGAN PENJAJARAN BAHARU POLITIK ?

 

Rakaman ‘perbualan Anwar-Zahid’ bukti cubaan tubuh jajaran baharu politik, kata Hadi.


PETALING JAYA: PAS menyifatkan perbualan telefon yang dikatakan antara Ahmad Zahid Hamidi dan Anwar Ibrahim sebagai sebahagian pembentukan kerjasama politik baru yang ditolak parti Islam itu, kata presidennya Abdul Hadi Awang.

“Itu (perbualan) sebahagian daripada jajaran baharu, jajaran baharu telah diumumkan, itu tanda-tanda jajaran baharu,” Hadi memberitahu pemberita di Marang, Terengganu.

Beliau menegaskan PAS tidak akan bekerjasama dengan Umno jika parti itu mahu membentuk jajaran politik baharu termasuk dengan Pakatan Harapan (PH) yang merangkumi PKR, DAP, dan Amanah.

“Kita tidak akan terima (jajaran baharu), kerana kita bersetuju dengan Muafakat Nasional (MN), yang bukan sahaja melibatkan Umno, ia melibatkan PPBM, melibatkan Melayu Islam-Bumiputera,” kata beliau.

“Kemudian dengan masyarakat majmuk dalam PN, kita bekerjasama dengan gabungan (MN-PN),” katanya kepada media selepas menyampaikan kuliah mingguan secara dalam talian di Masjid Rusila pada Jumaat.

Hadi akur kesahihan rakaman perbualan yang dikatakan antara Zahid selaku presiden Umno dan Anwar yang memimpin PKR, belum dipastikan, namun berkata perkara lebih penting ialah rekod buruk PH dalam menunaikan janji.

“Tulin ke tak tulin audio itu saya tak tahu, cukup biar masyarakat menilai, sudah berapa kali (sebut) tulin tak tulin, kerja begitu sudah banyak kali (kita dengar). Manifesto yang berjanji tapi tak buat, jadi audio ini kecil dari itu lagi, manifesto kata nak buat itu ini…janji nak turun harga minyak tidak buat,”katanya.

Zahid dan Anwar nafi perbualan berkenaan, yang dikatakan berlaku selepas Perhimpunan Agung Umno 2020 baru-baru ini.

Presiden Umno itu diasak pengkritik ekoran dakwaan ada cubaan melibatkan ahli parti itu untuk bekerjasama dengan pembangkang.

Ditanya mengenai desakan beberapa pemimpin Umno meminta Zahid meletak jawatan sebagai presiden Umno susulan pendedahan rakaman itu, Hadi berkata PAS tidak mencampuri urusan parti lain.

“Itu terpulang kepada Umno, saya tak campur,”katanya.

Tokoh veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah antara yang berpendapat jika rakaman itu terbukti benar, Zahid tidak layak lagi memimpin parti.

No comments: