Pas memerintah di pusat tetap gagal bangunkan Kelantan
Sejak 30 tahun lalu Pas menyalahkan kerajaan pusat yang diterajui BN mensabotaj ekonomi Kelantan.
Kerajaan BN dituduh menyekat pelaburan pihak luar, enggan membenarkan Kerajaan Negeri meminjam wang, menganaktirikan peruntukan pembangunan melalui geran wajib persekutuan dan perlbagai dakwaan lain.
Namun selepas Mac 2020, beberapa menteri Kerajaan Persekutuan merupakan pemimpin Pas Kelantan. Bagaimanapun pembangunan yang diimpikan rakyat masih tidak kelihatan dan masalah air bersih kekal berlarutan tanpa ada usaha serius untuk menyelesaikannya.
Bagi Ketua Cabang Kota Bharu, Zinda Khalil Sastro Hassan, terbukti bukan diskriminasi Kerajaan Persekutuan yang menyebabkan negeri itu mundur tetapi kerana kelemahan Pas sendiri yang tidak berwibawa mentadbir menyebabkan Kelantan masih tidak membangun ketika Pas telah menjadi sebahagian daripada kerajaan.
“Rakyat Kelantan sudah sedar sebenarnya, sebelum ini (Pas) banyak bagi alasan yang pusat tak tolong dan sebagainya. Sebab itulah pembangunan di Kelantan susah nak naik (maju)
“Hari ini ramai pimpinan Pas dalam kerajaan dan ada sebagai Menteri dari Kelantan, tetapi kita tak nampak apa-apa pun benda yang positif untuk rakyat negeri ini
“Pas (seolah-olah) dapat sahaja jawatan (menteri) itu terus goyang kaki. Saya tak nampak apa yang dirancang atau diperbaikki seperti masalah air dan sebagainya,” katanya kepada Suara Keadilan.
Sehubungan itu, Zinda menyeru rakyat Kelantan mengubah Kerajaan Negeri dalam Pilihan Raya Umum ke 15.
Menurutnya, cukup sudah Pas diberi peluang selama 3 dekad dengan segala retorik dan slogan yang tidak ke mana-mana. Rakyat Kelantan perlu memikirkan masa hadapan mereka dan kembali kepada Islam yang menekankan kuasa wajib diberi kepada individu yang selayaknya.
“Rakyat Kelantan sudah nampak benda ini, perjuangan (Pas) hanya sekadar slogan malah sudah dapat kuasa tetapi masih tidak mampu berbuat apa-apa
“Lihat RUU355, kes arwah Adib dan semuanya (pemimpin Pas) diam membisu, apatah lagi nak buat pembangunan di Kelantan,” katanya lagi.
Terbaharu, semakin banyak rakyat Kelantan mempersoalkan usaha Kerajaan Negeri menangani isu air bersih. Kerajaan Negeri tidak melakukan pinjaman kepada Kerajaan Persekutuan seperti mana ketika Nik Aziz Nik Mat menjadi Menteri Besar yang meminjam RM600 juta untuk membaiki perkhidmatan air. Begitu juga mereka terkilan sengan sikap pimpinan negeri yang bermewah-mewah dengan pembelian kereta Mercedes model baharu dan kenaikan elaun Exco dan ADUN.