Swasta Dewan Orang Ramai: Jangan cari keuntungan atas harta awam - PH



Ura-ura Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menswastakan Dewan Orang Ramai di bawah kendalian pihak berkuasa itu dibantah oleh Ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) Wilayah Persekutuan.

Menurut mereka, Dewan Orang Ramai dibina menggunakan dana awam dan tidak wajar diserahkan pengurusannya kepada pihak swasta yang mungkin mengkomersialkan kemudahan komuniti tersebut.

"DBKL digesa untuk memastikan pengurusan Dewan Orang Ramai di Kuala Lumpur (DBKL) tidak diserahkan kepada syarikat swasta atau pihak ketiga.

"Dewan Orang Ramai yang dibina dengan menggunakan dana awam haruslah dibuka untuk penggunaan komuniti setempat. Ia harus diurus secara telus oleh DBKL demi manfaat orang ramai dan bukan diurus oleh pihak swasta yang bertujuan mengaut keuntungan.

"Dalam tempoh pentadbiran Kerajaan PH, kami telah ‘memutihkan’ Dewan Orang Ramai ini daripada kawalan parti politik kerajaan BN kerana ada di antara mereka menjadikan Dewan Orang Ramai sebagai hartanah persendirian dengan melakukan aktiviti perniagaan yang menguntungkan mereka.

"Kerajaan PH telah mengambil-alih kebanyakan dewan orang ramai ini dan menegah penswastaan dilakukan," kata mereka dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, Ahli-ahli Parlimen Wilayah menuntut agar DBKL meneruskan dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan PH demi memastikan dewan yang dibina melalui dana awam dapat digunakan oleh semua pihak.

"Kami, Ahli Parlimen di Wilayah Persekutuan menyeru DBKL untuk meneruskan dasar ini. Kami juga menyeru DBKL membenarkan semua pihak termasuk parti pembangkang untuk menggunakan fasiliti dewan orang ramai," kata mereka lagi.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Cheras Tan Kok Wai, Ahli Parlimen Bukit Bintang Fong Kui Lun, Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok, Ahli Parlimen Wangsa Maju Dr Tan Yee Kew, Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil, Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad, Ahli Parlimen Batu P. Prabakaran dan Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh.

 

No comments: