Kes Covid-19 melonjak, 1.5 peratus penduduk terima vaksin

 


Jangkitan Covid-19 melonjak di Malaysia dengan 1,449 kes baharu dilaporkan secara purata setiap hari, lapor Reuters.

Agensi berita yang bertapak di United Kingdom itu berkata, terdapat 31 jangkitan setiap 100,000 orang dilaporkan di Malaysia dalam tempoh seminggu lalu.

“Terdapat 362,173 jangkitan dan 1,333 kematian berkaitan koronavirus dilaporkan di negara ini (Malaysia) sejak wabak itu bermula,” katanya dalam laporan dikemaskini pagi ini di laman khas Covid-19.

Dalam masa sama, Reuters turut melaporkan Malaysia telah memberikan sekurang-kurangnya 941,200 suntikan dos vaksin Covid-19 setakat ini.

“Dengan mengandaikan setiap orang memerlukan dua suntikan dos, itu sudah cukup untuk memberi vaksin sekitar 1.5 peratus daripada populasi negara,” katanya.

Jelas Reuters, data berkaitan suntikan vaksin itu mengikut jumlah dos vaksin Covid-19 yang diberi bukan jumlah orang yang telah divaksin.

“Sepanjang minggu terakhir yang dilaporkan, Malaysia memperoleh purata 28,502 dos setiap hari. Pada kadar itu, diperlukan 225 hari lagi untuk memberi dos yang mencukupi untuk 10 peratus populasi lagi,” tambahnya.

Untuk rekod, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dilancarkan pada 24 Februari lalu menyasarkan untuk memberi imunisasi secara percuma kepada penduduk negara ini, baik rakyat tempatan mahupun warga asing.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menjadi antara individu terawal menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19, jenis Pfizer-BioNTech.








No comments: