Najib belum diberi bukti berpotensi bebaskannya, walaupun perolehi perintah mahkamah

 

Pendakwa raya AS mendedahkan, Roger Ng mungkin memiliki keterangan yang berpotensi membebaskan Najib Razak daripada pertuduhan berkait skandal 1MDB.

PETALING JAYA: Bekas eksekutif Goldman Sachs, Roger Ng Kok Wah, mungkin memiliki keterangan yang berpotensi membebaskan bekas perdana menteri Najib Razak daripada pertuduhan berkait skandal 1MDB, FMT difahamkan.

Perkara ini didedahkan pendakwa raya AS kepada Hakim Margot K Brodie dalam persidangan pada 23 Mac bagi prosiding jenayah terhadap Ng di daerah timur New York.

Dalam sidang tersebut, penasihat undang-undang kerajaan AS memberitahu Brodie, data yang terkandung dalam komputer pelayan Goldman Sachs telah dikeluarkan kepada pihak peguambela Ng, sebagai sebahagian dari proses penzahiran keterangan dalam prosiding jenayah terhadapnya.

Data berkenaan, dipercayai secara asalnya tersimpan dalam sekurang-kurangnya dua telefon bimbit milik bekas eksekutif Goldman Sachs, Tim Leissner, boleh membantu membersihkan nama Najib, kata pendakwa raya.

Leissner menyerahkan alat peranti jenama Blackberry yang digunakan atas tujuan kerja kepada majikannya pada 19 Januari 2016.

Hakim turut diberitahu bahawa Goldman Sachs telah menghapuskan data dari telefon bimbit berkenaan dan menyimpannya dalam komputer pelayan.

Dalam surat bertarikh 12 Mac, firma guaman Brafman & Associates menuduh Goldman Sachs “dilindungi secara aktif oleh kerajaan AS”.

Peguambela Ng dalam surat berkenaan turut menuduh bahawa kerajaan AS sanggup campurtangan “menerusi mahkamah di sebuah daerah lain untuk menghalang Goldman Sachs dan Leissner mematuhi proses perundangan yang diarahkan oleh sebuah mahkamah lain, jelas membuktikan bahawa Goldman Sachs adalah sebahagian pasukan pendakwa raya”.

Menurut peguambela Ng, campurtangan itu adalah permohonan oleh pihak pendakwaan untuk menangguhkan perintah penzahiran keterangan yang berjaya didapatkan Najib daripada Hakim Katherine Parker dari mahkamah daerah selatan New York.

Perintah itu untuk sepina dikeluarkan terhadap Goldman Sachs dan Leissner bagi memperolehi dokumen dan keterangan yang berpotensi membantu Najib dalam pembelaannya terhadap kes jenayah yang beliau hadapi di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun pada 8 Feb, kerajaan AS memohon untuk mencelah dan menangguhkan prosiding penzahiran keterangan, sementara menunggu penyelesaian tindakan undang-undang berasingan terhadap Goldman Sachs, Leissner, dan Ng, serta ahli perniagaan dikehendaki, Low Taek Jho.

Sehingga kini, sesi pendengaran bagi permohonan kerajaan AS masih belum dimulakan.

Susulan perkembangan kes Ng , Najib mengemukakan untuk campur tangan dalam kes Ng bagi mendapatkan suatu perintah daripada Brodie, yang akan membolehkan peguam Najib mengakses keterangan yang disifatkan peguam sebagai berpotensi bersifat ekskulpatori.

Keterangan bersifat ekskulpatori adalah keterangan yang mampu membebaskan seseorang daripada sesuatu pertuduhan.

Permintaan itu, yang dibantah pendakwa raya AS dan Ng, ditolak Brodie minggu lepas, sekaligus menyebabkan Najib tiada akses kepada keterangan yang mungkin membersihkan namanya, walaupun Ng memiliki keterangan itu.

Ng dan barisan peguamnya dihalang mendedahkan keterangan berkenaan atas perintah Brodie sebelum itu.

Perbicaraan Najib di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bersambung 18 Mei ini , dengan 10 saksi dari pihak pendakwaan yang masih memberikan keterangan.

Bekas Perdana Menteri itu berdepan 25 pertuduhan , membabitkan salah guna kuasa ketika menyandang jawatan berkenaan melibatkan dana 1MDB bernilai RM2.6 bilion dan penggubahan wang haram.





No comments: