Undi18, daftar pemilih automatik tidak sempat dilaksana tahun ini - SPR

 

Hasimi Muhamad
Undi18, daftar pemilih automatik tidak sempat dilaksana tahun ini - SPR
Walaupun tempoh matang PRU15 adalah pada 2023, namun wujud desakan agar pilihan raya tersebut diadakan pada tahun ini - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan pendaftaran pemilih automatik dan Undi18 boleh dilaksanakan selepas 1 September 2022, sekali gus menyaksikan ia tidak sempat dilaksanakan pada Julai tahun ini sepertimana jangkaan awal.
Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, tempoh tersebut dibuat selepas menilai semula pelbagai kekangan dan isu yang telah menjejaskan perancangan dan persiapan awal SPR termasuk penularan wabak COVID-19.
Tegas beliau, SPR komited dengan pelaksanaan pendaftaran pemilih automatik dan Undi18 seperti yang telah diluluskan di Parlimen untuk direalisasikan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 pada tahun 2023 berpandukan kepada Perkara 55(3) Perlembagaan Persekutuan.
"SPR ingin menjelaskan bahawa persiapan ke arah pelaksanaan tersebut masih berjalan dan dalam tindakan sewajarnya.
"Ini termasuklah gerak kerja seperti pembangunan sistem, semakan dan penyelarasan data, program libat urus susulan bersama agensi kerajaan, parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta persiapan-persiapan lain yang berkaitan dengannya.
"Walau bagaimanapun, SPR bersikap realistik dengan perkembangan dan situasi semasa negara ketika ini yang secara umumnya masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak COVID-19.
SPR | Undi18, daftar pemilih automatik tidak sempat 2021
"Ini secara langsung menjejaskan perancangan dan persiapan SPR," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
SPR sebelum ini menjangkakan kelayakan pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik dapat dilaksanakan selewat-lewatnya pada Julai 2021.
Mengulas lanjut, Abdul Ghani berkata, berdasarkan rekod terkini SPR, jumlah warganegara yag berumur 18 tahun dan ke atas adalah seramai 5.6 juta orang.
Sehubungan itu, beliau berkata, SPR akan melancarkan sistem semakan pra-pendaftaran automatik melalui portal SPR pada Ogos 2021 bagi membolehkan 5.6 juta bakal pemilih menyemak dan mengesahkan maklumat mereka.
"SPR juga sedang menyediakan satu laporan interim berhubung pendaftaran pemilih automatik dan Undi18. Laporan ini dijangka akan dikeluarkan pada bulan September 2021," katanya.
[INFOGRAFIK] Apa itu Undi18?
Daripada jumlah 5.6 juta warganegara, seramai 1.2 juta merupakan individu yang berusia 18 hingga 20 tahun.
Manakala 4.4 juta adalah mereka yang berusia 21 tahun dan ke atas, yang mana telah pun layak tetapi masih belum berdaftar sebagai pemilih.
"SPR menyeru rakyat Malaysia yang berusia 21 tahun dan ke atas ini untuk segera mendaftar sebagai pemilih secara dalam talian melalui mysprdaftar.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri atau Pejabat Pos yang berdekatan," tambahnya.
Pada 25 Julai 2019, Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 diluluskan di Dewan Negara dengan majoriti dua pertiga, 10 hari selepas diluluskan di Dewan Rakyat.
Dengan kelulusan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan itu, pilihan raya pada masa hadapan akan menyaksikan pengundi berusia 18 tahun dibenarkan mengundi dan menjadi calon berbanding usia 21 tahun sebelum ini, selain pendaftaran pengundi akan dilakukan secara automatik.
Walaupun tempoh matang PRU15 adalah pada 2023, namun wujud desakan agar pilihan raya tersebut diadakan pada tahun ini.