Apa akan berlaku pada Perhimpunan Agung UMNO atau PAU esok?
Berdasarkan sentimen semasa, PAU kali ini dijangka tidak berdepan banyak masalah untuk memuktamadkan usul putus hubungan dengan Bersatu yang telah diluluskan oleh sebahagian besar UMNO bahagian-bahagian sebelum ini.
Ini kerana majoriti pimpinan dan akar umbi UMNO memang mahukan ketetapan putus hubungan itu segera dimuktamadkan.
Tambahan lagi, difahamkan juga berikutan norma baru PAU tahun ini, semua jurucakap yang dipilih untuk berucap adalah terdiri daripada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri-Negeri saja.
Semua Pengerusi Badan Perhubungan UMNO, kecuali Shahidan Kassim dari Perlis, diketahui sentiasa komited dengan usul putus hubungan dengan Bersatu itu.
UMNO Sabah pimpinan Bung Mokhtar Radin yang diberi autonomi sebelum ini, dilihat turut senada dengan Perlis dan mahukan hubungan dengan Bersatu dikekalkan dalam PRU15 akan datang.
Tetapi, dengan hanya dua UMNO negeri yang dijangka berbeza pendirian dan mahu kekal bersama Bersatu, kebarangkalian untuk puak kiri yang pro Muhyiddin untuk mengubah keputusan putus hubungan itu hampir mustahil akan berjaya, walaupun percubaan ke arah itu dilihat agresif sebelumnya.
Makna kata, sebagaimana kehendak akar umbi yang telah diterjemahkan melalui usul bahagian-bahagian sebelum ini, isu putus hubungan dengan Bersatu akan dijadikan isu yang muktamad dalam PAU esok dan menjadi ketetapan dalam PRU15 kelak.
Bagaimanapun, memuktamadkan putus hubungan dengan Bersatu, tetapi dalam masa yang sama UMNO terus kekal dalam kerajaan sehingga Parlimen dibubar untuk diadakan PRU15 bukanlah suatu kejutan sebenarnya.
Ia boleh dianggap keputusan biasa-biasa saja yang mana selain rakyat tidak terkejut, Muhyiddin Yassin sendiri pun tidak terperanjat dengan keputusan tersebut.
Ia lantaran, jika hanya itu keputusan PAU esok, ia sama seperti ketetapan mesyuarat MT UMNO yang mana ia telah pun dimaklumkan secara bertulis oleh Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi kepada Muhyiddin beberapa minggu sebelum ini.
Dengan keputusan yang dianggap biasa-biasa itu, ia malah meletakkan UMNO dalam keadaan tidak berubah, bahkan kedudukan Muhyiddin dan kerajaan PN juga tidak berubah sama.
Tidak mustahil dengan keputusan tersebut, Muhyiddin akhiirnya berjaya mengekalkan kerajaannya sehingga ke tahun 2023 dan sudahnya, Zahid Hamidi dan Najib Razak mungkin lebih dulu masuk penjara berbanding tibanya tarikh PRU15.
Dengan Muhyiddin berjaya mengekalkan kedudukannya sehingga ke tahun 2023 juga memungkinkan UMNO terpaksa melalui proses pemilihan terlebih dahulu sebelum PRU15 dan ketika itu tidak mustahil salah seorang kluster menteri akan jadi Presiden UMNO yang baru.
Dalam erti kata lain, jika PAU esok sekadar memuktamadkan putus hubungan dengan Bersatu, tetapi UMNO terus kekal berada dalam kerajaan sehingga PRU15, ia belum tentu menjamin masa depan UMNO dalam usahanya untuk menjadi parti yang dominan serta seterusnya berjaya menduduki semula kerusi Perdana Menteri.
Ternampak, sebagaimana Bersatu ditubuhkan untuk menggantikan UMNO, lanjutan masa sehingga tahun 2023 bagai memberi ruang lebih terbuka untuk cita-cita tersebut disempurnakan dengan jayanya.
Habis, keputusan yang bagaimana dalam PAU esok yang boleh dianggap sebagai kejutan dan mampu membuatkan Muhyidddin pun terkejut dengannya?
Tidak lain, ketetapan paling baik harus diambil UMNO dalam PAU kali ini ialah selain memuktamadkan putus hubungan dengan Bersatu, keputusan keluar serta-serta daripada kerajaan juga mesti dilakukan.
Keputusan keluar kerajaan tidak boleh ditangguh-tangguh lagi dan logik Ismail Sabri Yaakob yang menyebut kedudukan UMNO dalam kerajaan PN umpama cerai taklik yang tergugur bila Parlimen dibubarkan, jelas tidak masuk akal.
Hakikatnya, cerai taklik bukan bersebab dengan tempoh masa, sebaliknya perkahwinan yang ada tempoh masa tertentu adalah nikah mutaah dan ia haram di sisi Islam.
Lagi pun, sesuai dengan Ahmad Zahid Hamidi dan Najib yang telah mengunjungi Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah dua hari lalu, PAU esok dan lusa seharusnya berani membuat keputusan keluar kerajaan itu.
Jika tidak, untuk apa Zahid Hamidi dan Najib mengunjungi Ku Li yang semua orang tahu pendiriannya bukan saja tidak mengiktiraf Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, malah beberapa kali menyarankan UMNO harus segera meninggalkan kerajaan demi survival masa depannya?
(Shahbudindotcom 26/03/2021)