Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu menyatakan dengan jelas pendirian diri sama ada menyokong Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atau sebaliknya.
Felo Kanan Majlis Profesor Negara Dr Jeniri Amir berkata, ia penting untuk memastikan memposisikan diri sebagai Naib Presiden UMNO dalam kedudukan politik dan nasional kerana pendiriannya akan menentukan hala tuju parti.
Dr Jeniri turut yakin Ismail Sabri akan menyatakan pendiriannya pada Perhimpunan Agung UMNO minggu ini.
Tambahnya, ia medan menentukan secara muktamad sama ada UMNO hendak menyokong atau berpisah dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atau memperkukuhkan kerjasama dengan Muafakat Nasional (MN) dan Pas.
“Sebarang perhitungan atau pendirian yang dibuat itu akan memberi kesan dan implikasi tertentu dari segi bagaimana prestasi UMNO dan kedudukan tokoh pemimpin politik UMNO itu sendiri. Kalau mereka dilihat menyokong Bersatu dan perdana menteri, tentu ada implikasi tertentu, begitu juga sebaliknya menjelang PRU nanti.
“Jadi mana-mana pemimpin politik itu harus membuat satu keputusan yang jelas dan konkrit serta pragmatik, bukan sahaja menentukan survival UMNO tetapi juga untuk menjamin bagaimana kedudukan mereka selepas PRU15 nanti.
“Mereka tidak boleh dilihat berdiri di atas pagar kerana pemimpin sedemikian adalah pemimpin yang dilihat ‘selamat’ dan cuba meraih keuntungan daripada kedua-dua pihak selepas sesuatu keputusan diambil,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Sebelum ini, Ismail Sabri menegaskan, tindakan disiplin boleh dikenakan sekiranya terdapat ahli dan pemimpin UMNO yang didapati menjalinkan kerjasama dengan PKR dan DAP.
Katanya, pihak pimpinan tertinggi parti telah membuat keputusan tidak akan bekerjasama dengan parti-parti itu.
Tegasnya, UMNO juga tidak pernah berganjak dengan keputusan yang telah diputuskan itu.
Dalam pada itu, Dr Jeniri berkata, sebarang keputusan yang saintifik berdasarkan kajian politik akademik dan profesional akan memastikan keputusan yang tepat diambil dan akhirnya akan menentukan survival UMNO.
Tambahnya, ia sekali gus dapat memastikan UMNO muncul semula sebagai parti dominan dalam PRU akan datang.
Mengulas isu sama, bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Dr. Mohamad Khir Toyo berkata, Ismail Sabri sepatutnya membuat pendirian jelas sama ada ingin bersama Bersatu atau menyokong Ahmad Zahid.
“Secara rambang jika jajaran baharu dibentuk dan ikut perkiraan awal mampu membentuk kerajaan yang kuat dan stabil malah mampu memperoleh majotiti dua pertiga dalam Parlimen, mengapa tidak UMNO berusaha ke arah itu, bukankah UMNO sebuah parti yg memperjuangkan kebajikan rakyat?
“UMNO patut melepaskan agenda lain selain dari membela rakyat, Ismail Sabri tidak boleh duduk diam macam air dalam kolam yang tidak beriak jika tiada ikan yang melompat. Beliau sepatutnya membuat pernyataan sebelum ucapan Presiden, itu sebaiknya untuk UMNO,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, akar umbi termasuk 124 Bahagian UMNO telah membuat keputusan untuk tidak bersama Bersatu dalam PRU-15.
Jadi tegasnya, mana-mana pemimpin yang menentang keputusan itu pasti akan ditolak dalam pemilihan UMNO akan datang.