1. Kata Perdana Menteri Pilihan Raya akan diadakan apabila darurat ditamatkan kerana masalah wabak COVID-19 sudah selesai.
2. Muhyiddin percaya Perikatan Nasional (PN) akan menang pilihan raya kerana ia sudah buat persediaan. Bendera dan sepanduk sudah ditempah dan agihan kawasan antara Bersatu, PAS dan UMNO sudah dirunding.
3. Bagi Muhyiddin hanya terdapat satu masalah yang belum diselesai. Muhyiddin berharap tidak ada parti lawan yang akan bertanding. Dengan ini Perikatan Nasional akan menang tanpa bertanding.
4. Untuk ini Muhyiddin boleh menentukan supaya parti musuh tidak akan didaftar. Ia bermula dengan Pejuang. Jika Pejuang tidak didaftar maka parti ini tidak akan dapat bertanding sebagai parti Pejuang. Mungkin calon Pejuang terpaksa bertanding sebagai calon bebas. Jika ini dilaku maka calon-calon bebas ini tidak dapat mengguna simbol dan bendera Pejuang. Ini akan kelirukan pengundi.
5. Mungkin Pejuang bertanding dengan nama parti lain seperti Bersatu dalam PRU 14 terpaksa guna symbol dan bendera PKR. Ini juga boleh kelirukan pengundi. Jika dicuba PKR mungkin tidak setuju memberi banyak kawasan kepada Pejuang. Sokongan juga mungkin tidak diberi. Maka akan kalahlah Pejuang.
6. Pada PRU 14 Najib membatal pendaftaran Bersatu dan tidak mendaftar Pakatan Harapan (PH). Maka parti-parti pembangkang terpaksa bertanding atas nama PKR, guna simbol dan bendera PKR. Percubaan Najib ini dapat ditangani oleh parti-parti lawan dengan bertanding sebagai parti PKR.
7. Parti lawan masih dapat sokongan yang cukup untuk menewas BN.
8. Muhyiddin mungkin cuba adakan PRU awal semasa Pejuang dan Muda tidak didaftar. Pejuang pula tidak ikat diri dengan mana-mana parti. Pejuang berharap akan menjadi kuasa ketiga. Harapan Muhyiddin ialah dia tidak dihadapi oleh musuh.
9. Tetapi Bersatu yang sekarang sudah jadi parti berbilang kaum tidak mungkin menang banyak. Dengan itu parti Perikatan Nasional dan BN dan Muafakat akan pilih orang lain sebagai Perdana Menteri. UMNO dan PAS memberi jawatan PM kepada Muhyiddin dahulu kerana mereka hanya boleh jadi gabungan majoriti jika Bersatu keluar dari PH dan menyertai Muafakat.
10. Yang mencukupi bilangan ialah Azmin dengan paksinya dari PKR. Secara tidak langsung Azmin diberi jawatan tertinggi tetapi bukan Timbalan Perdana Menteri.
11. Keadaan politik selepas PRU 15 tidak mungkin berbeza dari sekarang. Tetapi Muhyiddin tidak akan jadi Perdana Menteri.
12. Pejuang tidak mungkin jadi Kerajaan. Tetapi sokongan Pejuang akan tentukan gabungan mana yang akan jadi Kerajaan. Sokongan Pejuang hanya jika syarat Pejuang diterima.
DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
25 Mac 2021
Sumber – http://chedet.cc/?p=3343