Cubaan bunuh pemimpin PH: Muhyiddin perlu beri penjelasan
Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menuntut bekas Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi penjelasan segera berhubung sikap berdiam diri beliau terhadap cubaan membunuh beberapa menteri kabinet Tun Mahathir Mohamad pada tahun lalu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Majlis Presiden, Muhyiddin yang mengetahui maklumat berkenaan pada Januari 2020 tidak sewajarnya berdiam diri mengenai ancaman tahap tertinggi seperti itu.
“Majlis Presiden mengambil maklum kenyataan yang dibuat Penolong Pengarah Unit Cawangan Khas Bahagian Anti-Pengganas (E8) bahawa pihak Polis Diraja Malaysia telah mematahkan cubaan seorang pengganas untuk membunuh bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad serta bekas menteri Lim Guan Eng dan Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas, yang masih dalam kerajaan pada masa itu.
“Majlis Presiden ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga buat PDRM di atas tindakan tegas menggagalkan percubaan tersebut.
“Pada masa yang sama, kami kesal di atas sikap Tan Sri Muhyiddin yang gagal memaklumkan perkara ini kepada pimpinan PH serta rakyat Malaysia amnya. Kegagalan tersebut menimbulkan persoalan motif sebenar perkara ini disembunyikan daripada pengetahuan pemimpin berkenaan dan kerajaan PH,” kata kenyataan tersebut.
Sehubungan itu, Majlis Presiden PH mendesak Muhyiddin untuk segera tampil memberikan penjelasan berhubung kejadian berkenaan.
“Kami menggesa Tan Sri Muhyiddin memberikan penjelasan di atas perkara ini pada kadar segera,” kata kenyataan itu lagi.
Kenyataan bersama tersebut dikeluarkan oleh Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu.
Hari ini, Cawangan Khas Counter Terorisme (E8) Bukit Aman mendedahkan pasukan itu pada tahun lalu menahan seorang lelaki penyokong pengganas IS yang mengaku merancang untuk melakukan serangan ke atas beberapa pemimpin utama kerajaan PH
Menurut Penolong Pengarah E8, Azman Omar, lelaki terbabit ditangkap pada Jan 2020 dan mengaku bercadang mahu menyerang Dr Mahathir Mohamad, Lim Guan Eng, Mujahid Yusof dan Tommy Thomas.