‘Kita jaga kita, pekerja tolong pekerja’
Pengeluaran i-sinar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) setakat 14 Mac tahun ini mencecah RM52.38 bilion, kepada 5.94 juta pemohon dan RM32.74 bilion telah pun dikreditkan.
Menurut Penolong Jurucakap Parlimen KEADILAN bagi Hal Ehwal Hak-Hak Pekerja, Hassan Abdul Karim, pengeluaran i-sinar itu hanya akan mengurangkan simpanan hari tua golongan pekerja, dan melambangkan bantuan ala kadar serta jauh daripada mencukupi yang mampu diberi oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Wang berbilion ringgit adalah wang pekerja sendiri di dalam KWSP. RM52.48 bilion itu nanti akan menggerakkan ekonomi negara supaya lebih cergas dan pertumbuhan akan berlaku.
“Itu aspek yang positif. Tetapi semakin banyak wang KWSP dikeluarkan, semakin kurang simpanan pencen untuk pekerja tersebut bila tua nanti.
“Nampaknya pekerja tolong diri mereka sendiri lebih besar jumlah wangnya berbanding jumlah yang kerajaan keluarkan untuk tolong pekerja,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang itu lagi, kerajaan juga kurang berupaya membendung pembungan pekerja yang pada 2020 menyaksikan 107,000 individu telah kehilangan pekerjaan.
“Seramai 107,000 individu yang kehilangan pekerjaan pada tahun 2020 menerima bantuan Sistem Insurans Pekerjaan di bawah Perkeso dengan nilai keseluruhannya sebanyak RM366.37 juta sahaja (tidak sampai setengah bilion),” katanya lagi yang mengungkapkan rasa syukur kerana setidak-tidaknya mereka dibela melalui skim insurans pekerja yang diperjuangkan oleh KEADILAN sejak beberapa tahun lalu.
Bagaimanapun, Hassan menegaskan nasib kaum pekerja Malaysia sekarang amat membimbangkan kerana menurut Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, setakat pada Februari 2021 terdapat 711,000 orang penganggur di negara ini.
Oleh itu, beliau menggesa kerajaan PN melakukan sesuatu bagi mengimbangi pengangguran dengan mencipta peluang pekerjaan baharu kepada rakyat.