Seminggu menjelang peperiksaan, 41 calon SPM di Machang positif Covid-19

 

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Dr Zaini Hussin berkata, kes positif calon SPM itu merupakan kontak kepada kluster Pangkal Changgong yang membabitkan tiga daerah iaitu Machang, Tanah Merah dan Pasir Puteh. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Jabatan Kesihatan Kelantan memaklumkan seramai 41 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sebuah sekolah asrama di Machang, disahkan positif Covid-19, menjadikan 88 kes baharu di negeri itu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Dr Zaini Hussin berkata, kes positif calon SPM itu merupakan kontak kepada kluster Pangkal Changgong yang membabitkan tiga daerah iaitu Machang, Tanah Merah dan Pasir Puteh.

Memetik laporan Harian Metro, beliau berkata pihaknya kini dalam usaha mengesan kontak rapat mereka yang positif bagi mengelak wabak itu merebak.

Difahamkan, kluster Pangkal Changgong adalah kluster membabitkan sebuah pusat pengajian di Pangkal Changgong dan tiga daerah terkesan dengan kluster itu.

Setakat ini, kluster itu sudah merekodkan 56 kes positif Covid-19.

Semua pelajar yang disahkan positif ditempatkan di pusat kuarantin di Dewan Jubli Perak dan Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK).

Dalam pada itu, calon SPM mempunyai masa kira-kira seminggu bagi membuat persiapan sebelum peperiksaan itu, Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) diadakan pada 22 Feb ini.


No comments: