Siasat segera kes gangguan seksual di sekatan jalan raya
Kerajaan Perikatan Nasional dipersalahkan kerana menangguhkan pembentangan Rang Undang-undang Gangguan Seksual yang telah didraf oleh kerajaan Pakatan Harapan sejak 2019 lalu.
Hal itu ditimbulkan oleh mantan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail dan Timbalannya Hannah Yeoh dalam mengulas kejadian anggota polis didakwa melakukan gangguan seksual terhadap pemandu wanita dalam sekatan jalan raya di ibu kota baru-baru ini.
“Kejadian yang menimpa seorang wanita yang diganggu secara seksual oleh seorang pegawai polis dalam sekatan jalan raya di Jalan Duta baru-baru ini adalah amat dikesali, apatah lagi ia datang daripada seorang yang sepatutnya menjaga keselamatan orang awam, apatah lagi ke atas seorang wanita.
“Golongan wanita seharusnya dilindungi dan dihormati oleh semua pihak. Pandang dan layani wanita itu bagaikan ibu, adik atau anak sendiri.
“Gangguan seksual berupa perkataan lucah sudah cukup untuk membuatkan wanita tersebut merasa tidak selesa, marah atau ketakutan sehingga memandu dalam keadaan trauma. Ini tentu sahaja boleh mengundang kecelakaan yang lebih parah selain daripada kecederaan emosi dan mental yang beliau lalui.
“Kami mahu kejadiaan ini diambil perhatian serius dan disiasat dengan segera oleh pihak yang bertanggungjawab khususnya PDRM kerana kejadian ini melibatkan seorang pegawai polis,” kata mereka dalam satu kenyataan.
Menurut Ahli Parlimen Pandan dan Ahli Parlimen Segambut itu, kerajaan PN yang bertanggungjawab melengah-lengahkan pembentangan RUU Gangguan Seksual tahun lalu harus mencari jalan untuk meneruskan akta tersebut.
Selain itu, kata mereka kerajaan juga perlu memperbanyakkan lagi kursus kesaksamaan gender dalam kalangan kakitangan awam dan pasukan penguatkuasaan agar wanita lebih dihormati serta hak mereka terjamin.
“Kami mendesak RUU Gangguan Seksual yang telah tertangguh sekian lama segera dibentangkan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam sesi Parlimen yang akan datang, dibahas dan diluluskan, agar orang awam khususnya wanita dan gadis akan merasa lebih selamat dan dilindungi.
“Kerajaan juga wajar mengambil inisiatif dengan menyediakan lebih banyak latihan dan kursus mengenai kepekaan gender kepada penjawat awam dan pegawai penguatkuasa dari semasa ke semasa agar insiden seperti ini tidak lagi berulang,” kata mereka lagi.
Baru-baru ini dua wanita didakwa diganggu di sekatan jalan raya dalam operasi penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan.
Kedua-duanya mengadu diperlakukan secara tidak terhormat oleh pegawai polis yang sedang bertugas.