Annuar Musa perlu minta maaf, dikenakan tindakan tegas! -Lip Eng

 

oleh Ghafar NS

Tan Sri Annuar Musa wajar dikenakan tindakan undang-undang tegas sama seperti orang lain, tegas Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng.

Katanya, perbuatan Menteri Wilayah Persekutuan itu melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membuat rakyat berasa marah dan kecewa.

Dakwa Ahli Parlimen Kepong itu, tatkala ramai rakyat biasa dikenakan tindakan undang-undang tegas kerana melanggar SOP, Annuar dengan senang hati berkumpul beramai-ramai menjamu selera dan beramah mesra.

Malah menurut Lip Eng juga, ini bukanlah kali pertama beliau melanggar SOP PKP yang ditetapkan.

“Ketika aktiviti riadah lebih dari dua orang adalah dilarang sama sekali, Annuar Musa pernah memuat naik gambarnya beriadah bersama dua orang rakan di kawasan perumahannya.

“Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di dalam perutusan khasnya pernah membicarakan perihal ‘no double standard’ (tiada pilih kasih),” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Namun menurut Lip Eng, rakan-rakan menterinya terang-terangan mendapat layanan berbeza apabila melanggar SOP.

“Mengapa Annuar Musa, yang melanggar SOP terang-terangan tidak dikenakan tindakan?”

“Apakah alasan beliau tidak dikenakan undang-undang?” soal Lip Eng tegas.

Media semalam melaporkan Polis Kuala Lumpur memulakan siasatan berhubung tindakan Annuar, yang didakwa melanggar SOP PKP.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, kertas siasatan dibuka berhubung gambar Annuar bersama enam yang lain duduk di dua meja jamuan dan tular di laman sosial.



No comments: