Kelmarin Ahli Parlimen Ketereh, Annuar Musa, dipecat serta-merta daripada jawatannya sebagai setiausaha agung BN selepas Presiden Umno yang juga Pengerusi BN Ahmad Zahid membuat keputusan tersebut.
Tindakan berkenaan diambil selepas bekas timbalan perdana menteri itu mengadakan pertemuan bersama ketua-ketua Umno bahagian.
Pertemuan tersebut dilaporkan bagi mendapatkan penjelasan berhubung usul Umno bahagian yang menolak kerjasama dengan Bersatu pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan didakwa oleh akar umni Umno seolah-olah sering membawa suara Bersatu dalam BN.
Lebih menarik, MCA – salah satu parti komponen BN – pun terkejut dengan pemecatan Annuar dan hanya mengetahui mengenai pemecatan tersebut melalui laporan media.
Adakah mereka telah dikeluarkan dari kumpulan WhatsApp BN? Persoalan itu masih tidak dapat dipastikan.
Tidak cukup dengan membuatkan MCA keliru dan bertambah celaru, muncul pula laporan mendakwa 143 daripada 191 Umno bahagian di seluruh negara enggan bekerjasama dengan Bersatu.
Nampaknya bukan sahaja BN yang cuba diheret untuk dibuang ke gaung. Umno malah mahu meroboh Perikatan Nasional (PN) juga.
Usul tersebut seolah-olah memberi bayangan kepada ahli parlimen Umno supaya menarik balik sokongan mereka terhadap kerajaan PN yang dipimpin oleh ketua parti Bersatu yang pernah melakukan kerja khianat dari tangga hotel di Petaling Jaya.
Jika kita melihat Umno seolah-olah cukup dengan apa yang mereka lakukan, kita sebenarnya terpedaya. Umno sebenarnya masih jauh daripada berasa puas. Apa yang mereka teguk masih belum menghilangkan haus.
Kini tiba giliran PAS menerima kesan serupa. Selain Bersatu, Umno Terengganu juga sebulat suara meluluskan usul menolak kerjasama dengan PAS yang kemudiannya diikuti oleh Umno Kelantan.
Panjang kata, orang Umno di pantai Timur tahu PAS adalah rakan kongsi mereka dalam Muafakat Nasional (MN). Namun mereka juga tahu PAS tidak boleh dipercayai.
Umno menyangka mereka kini mempunyai kuasa tawar-menawa semasa berdepan Perdana Menteri yang juga Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.
Berahi yang tak berkesudahan ini timbul semenjak Umno berjaya menjatuhkan Ahmad Faizal Azumu daripada jawatannya sebagai menteri besar Perak.
Ahmad Faizal bukan orang biasa-biasa. Dia merupakan timbalan presiden Bersatu sekali gus orang nombor dua Muhyiddin Yassin.
Mesej yang dihantar oleh Umno Perak itu terus sampai ke depan pintu Putrajaya.
Malah dakwaan terdapatnya usaha Bersatu untuk membeli ahli-ahli Umno menambah garam halus ke luka bernanah Umno. Ahmad Zahid pula langsung tidak menolak dakwaan Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki yang membuat dakwaan tersebut.
Semua malapetaka politik yang disenaraikan tadi adalah petanda kerajaan PN menghampiri tempoh tamatnya. Rasa meluat akar umbi Umno kini naik sampai ke kepala.
Menuntut PRU ke-15 dengan segera adalah petanda Umno semakin terdesak dan percaya dengan sifir mereka bahawa parti itu akan kembali berkuasa selepas itu.
Bersatu dan PAS hanya menjadi longgokan sampah atau bahan binaan yang menghalang laluan Umno. Biarpun Umno dilihat bersama dengan PAS dan Bersatu dalam kerajaan, sebenarnya mereka mahu bersendirian.
PN hari ini tidak selemah seperti mula-mula Muhyiddin mendakap Azmin Ali ketika dia baru menjadi perdana menteri. PN jauh lebih lemah pada hari ini berbanding hari tersebut.
PN bukan sahaja retak menanti belah, mereka sebenarnya sudah terbelah terpecah-pecah namun hanya berpura-rupa mengaku retak.