1 . Tuntutan UMNO untuk adakan PRU suku pertama tahun 2021 adalah tidak wajar dan tidak munasabah. Kenyataan itu antara keputusan yang dibuat dalam mesyuarat kepimpinan tertinggi UMNO.
2. Ketidaktentuan politik negara memerlukan kesembuhan jangka panjang dan sebaiknya ialah menunggu sehingga pembubaran wajib 2023. Pemulihan memerlukan demokrasi diperkukuhkan semula melibatkan reformasi pilihanraya, reformasi parlimen dan reformasi politik dan parti-parti politik.
3. Manakala sembuhan keseluruhan negara memerlukan ketahanan nasional dibina semula akibat politik perkauman dan politik pembelotan yang menjadikan kebencian agama dan kaum sebagai manupulasi politik. Ketahanan nasional sangat penting untuk negara menghadapi pasca krisis pandemik global. PRU segera tidak akan selesaikan masalah bahkan akan menjadi semakin parah kerana kempen-kempen pilihanraya akan berorientasikan sentimen perkauman dan agama sempit untuk meraih undi. Perpaduan nasional akan terus terancam.
4. Pemikiran Umno dalam keputusan MKT mendedahkan betapa parti Melayu itu tidak lagi memikirkan soal penyembuhan negara dan pemulihan demokrasi dari akar umbinya. Mereka hanya berfikir untuk mengekalkan politik kuno mereka dan politik selamat diri. Rakyat sedia maklum beberapa pimpinan tertinggi Umno dan mantan PM dan TPM Umno berada dalam kluster Mahkamah akibat penyewengan dana dan tuduhan rasuah.
5. Negara memerlukan penstrukturan semula secara berinstitusi berteraskan pemulihan demokrasi dan membina semula ketahanan nasional. Pemulihan ini akan mengembalikan kepercayaan rakyat kepada institusi pemerintahan dan institusi politik yang menguasai pilihan rakyat.
Masa sebelum pembubaran wajib 2023 adalah sangat kritikal untuk semua pihak menumpukan kepada projek besar-besaran penyembuhan negara. Jikalau semua pihak memahami tuntutan ini maka akan terbentuklah “Gabungan Terbesar Rakyat” bersatu tenaga memastikan aspirasi penyembuhan negara tercapai sebagai tuntutan PRU nanti.
DS Dr Mujahid Yusof Rawa
Naib Presiden AMANAH
Ahli Parlimen Parit Buntar
7 Jan 2021