Wujudkan industri baharu tangani warga emas, pengangguran serentak

 

Oleh: Loh Ker Chean

Menurut anggaran Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Malaysia akan menjadi negara tua apabila penduduk warga emas mencecah 15% iaitu 5.6juta menjelang tahun 2030. Sehingga kini, negara dianggarkan mempunyai 3.5juta warga emas yang berusia 60 tahun dan keatas, iaitu 10.7% daripada jumlah keseluruhan penduduk Malaysia.

Ini bermakna dalam tempoh 10 tahun ini, negara seharusnya sudah siap siaga dalam usaha menawarkan kemudahan dan sistem sokongan untuk rakyat yang semakin menua demi kelangsungan hayat mereka. Proses penuaan merupakan proses semula jadi yang tidak dapat dielakkan. Oleh itu, menua dengan bermaruah adalah hak bagi setiap rakyat biarpun menghampiri akhir hayat.

Kurang peruntukan warga emas

Selepas memperhalusi ucapan Belanjawan 2021 yang telah dibentangkan oleh Menteri Kewangan pada minggu yang lalu, perkara yang dikesali adalah kerajaan Perikatan Nasional (PN) lebih berminat memperuntukkan dana untuk berpolitik daripada menangani isu rakyat yang terkesan akibat pandemik, seperti peruntukan RM 85.8 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang fungsinya bertindih dengan jabatan sedia ada dan RM 8.6juta diperuntukkan kepada Penggerak Komuniti Tempatan (PeKT).

Kerajaan PN dilihat kurang peka akan keperluan dan kesejahteraan golongan warga emas untuk jangka panjang, lebih-lebih lagi di dalam musim pandemik Covid-19.

Mengambil contoh kejadian yang telah tular di laman media sosial semasa Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) dilaksanakan, iaitu kes Encik Lai Fah Kuen, 72 tahun yang ditemui maut oleh pihak polis di Kuala Lipis pada 14 April 2020. Sebelum Lai ditemui maut di rumah, pihak polis yang bertugas di kawasan terbabit menjumpai Lai berjalan kaki sejauh satu kilometer dari rumah untuk mencari makanan.

Insiden Lai jelas menonjolkan kelompongan yang wujud dalam sistem sokongan sosial warga emas di negara ini. Hak asasi rakyat khususnya warga emas untuk mengakses kepada sokongan sosial perlu dipandang serius dan pilihan perkhidmatan penjagaan mengikuti keperluan perlu dipelbagaikan.



Dasar PN ketinggalan zaman



Loh Ker Chean

kepada Belanjawan 2021, dasar kerajaan PN masih ketinggalan zaman kerana mereka menggunakan dasar yang sama sejak tahun 2012, kecuali kenaikan nilai saguhati kepada 2,000 sukarelawan dan 8,000 klien yang disebut dalam “Program Khidmat Bantu Di Rumah” yang memberi khidmat sokongan kepada warga emas yang tinggal bersendirian.

Adakah 8,000 klien itu merupakan kesemua warga emas yang tinggal bersendirian dan memerlukan bantuan di dalam negara ini? Menurut statistik DOSM, penduduk warga emas kini telah meningkatkan sebanyak 1 juta orang sejak tahun 2012 yang mencatatkan 2.44 juta orang. Kerja - kerja perkhidmatan yang bergantung kepada sukarelawan semata-mata tidak mampu menampung keperluan golongan ini yang semakin bertambah dan sofistikated.

Berdasarkan pengalaman saya semasa bekerja di bawah pertubuhan bukan kerajaan yang terlibat dalam bidang perkhidmatan penjagaan warga emas di Australia, Khidmat di Rumah (Home Care) adalah lebih memanfaatkan warga emas dari segi kesihatan mental. Dasar kerajaan Australia juga lebih cendorong kepada menawarkan ‘Pakej Khidmat di Rumah’ bersubsidi yang dijalankan oleh pekerja profesional demi mengekalkan warga emas mendiami rumah asal dan berinteraksi dengan komuniti seperti biasa.

Justeru itu, sebuah ekosistem dalam industri perkhidmatan penjagaan warga emas yang berkualiti dan profesional perlu diwujudkan demi menjamin kesihatan fisikal dan mental mereka dalam proses penuaan.

Pengangguran meningkat mendadak

Pada masa yang sama, kadar pengangguran di Malaysia telah meningkatkan dari 3.3% ke 4.7% iaitu seramai 741,600 orang pada bulan Ogos 2020 berbanding dengan tahun lepas akibat pandemik.

Oleh yang demikian, saya mencadangkan agar kerajaan PN dapat menangani isu penuaan dan isu pengangguran secara serentak, iaitu dengan cara mendorong perkembangan industri perkhidmatan penjagaan warga emas melalui pelaksanaan inisiatif-inisiatif bersama pemegang taruh sektor swasta. Dari situ, industri dan peluang pekerjaan baru dapat kita wujudkan, keperluan dan kualiti perkhidmatan penjagaan warga emas juga akan terjamin.

Pembangunan modal insan dalam bidang kerja sosial boleh menaik taraf martabat bidang ini menjadi salah satu bidang profesional. Sebab itu, kementerian pengajian tinggi disarankan untuk memperkenalkan kursus ijazah Kerja Sosial. Kursus sijil dan diploma dalam bidang perkhidmatan penjagaan warga emas dan komuniti pula boleh ditawarkan di peringkat kolej komuniti.

Hal ini bukan sahaja dapat memenuhi keperluan sektor perkhidmatan penjagaan warga emas, tetapi juga dapat memberi manfaat kepada pentadbiran dan pelaksanaan program sosial dalam sektor awam dan swasta secara keseluruhannya. Dalam pada itu, masalah kekurangan kakitangan pekerja sosial yang sering dihadapi oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga boleh diselesaikan dengan mengerahkan tenaga kerja ke sektor-sektor ini.

Akta Profesion Kerja Sosial

Akhir kata, penggubalan akta yang penting seperti Akta Profesion Kerja Sosial dan Akta Warga Emas yang diusahakan oleh Mantan Menteri KPWKM Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail sepatutnya menjadi perbincangan utama di dalam Persidangan Dewan Rakyat Mesyuarat Kali Ketiga ini supaya pelbagai pelan strategi boleh dilakar untuk memastikan kesejahteraan rakyat terjamin dan terbela semasa tempoh memerangi Covid-19 dan juga pasca pandemik.

Tetapi malangnya, Persidangan Dewan Rakyat Kali Ketiga ini telah dihadkan masa bersidang kepada 4 jam sahaja sehari buat masa ini. Ahli-ahli Parlimen digesa untuk mengusulkan tambahan hari sidang, bagi memperuntukkan lebih masa kepada pembentangan RUU dan perbahasan Ahli-ahli Parlimen.

Ahli - ahli Parlimen seharusnya perlu menumpukan pada kerja hakiki mereka untuk membentuk dasar dan menggubal akta – akta demi memajukan negara dan membela nasib rakyat tanpa kos tambahan, dan biarkan ekonomi kita kembali berkembang.



_________________________________________________________________________________



Penulis merupakan Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN

 

No comments: