MEMAHAMI DARI PERSPEKTIF UNDANG-UNDANG JIKA BELANJAWAN DITOLAK( ULANG UNTUK KEFAHAMAN RAKYAT )


 S. 1: Apa akan jadi jika Belanjawan sulung Kerajaan Perikatan Nasional ditolak di Parlimen pada hari Khamis 26 November 2020?

J. : Dari segi konvensyen itu bermakna ahli-ahli Dewan Rakyat tidak mempunyai keyakinan terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Kerajaan PN pimpinannya.

S. 2:Apa yang terjadi pada Belanjawan tahun 2021 itu apabila ditolak?

J. :Belanjawan itu lupus di Dewan Rakyat. Tidak boleh dibawa ke Dewan Negara. Tidak boleh dipersembahakan kepada Yang Di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenan diraja.

S. 3:Bagaimana pula nasib Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Kabinet pimpinannya?

J. : Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengikut konvensyen perlembagaan perlu meletak jawatan. Kabinet pimpinannya juga turut meletak jawatan apabila Perdana Menteri meletak jawatan.Perdana Menteri perlu menyerahkan surat perletakan jawatannya kepada Yang di-Pertuan Agong.

S. 4: Bolehkah PM Muhyiddin Yassin menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya mengisytiharkan Darurat seluruh Malaysia setelah Belanjawan 2021 kalah di Dewan Rakyat?

J. : Muhyiddin Yassin tidak boleh berbuat demikian.Apabila Belanjawan 2021 Kerajaan PN ditolak di Dewan Rakyat itu bermakna Ahli Parlimen Pagoh itu sudah kehilangan sokongan majoriti Ahli-ahli Parlimen di Dewan Rakyat. Beliau sudah tidak ada locus standi sebagai seorang Perdana Menteri untuk menasihati Yang Di-Pertuan Agong supaya mengisytiharkan Darurat di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

S. 5: Adakah alasan lain jika ada, selain isu locus standi untuk yang Di-Pertuan Agong menolak permohonan Muhyiddin Yassin supaya disytiharkan Darurat?

J. : Kalah dalam pengundian Belanjawan tahunan negara tidak boleh jadi alasan untuk perisytiharan darurat. Ada tiga sebab utama di dalam Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan untuk Darurat diisytiharkan oleh Yang Di-Pertuan Agong. Pertama ada ancaman keselamatan negara; kedua ada ancama terhadap kehidupan ekonomi; dan ketiga ada ancaman terhadap ketenteraman awam.Ketiga-tiga alasan itu tidak wujud sekarang atau pada 26 November nanti. Keselamatan Malaysia sekarang tidak terancam.Tidak ada tentera negara asing sedang atau akan menyerang Malaysia. Ekonomi Malaysia akan terus berjalan walaupun Belanjawan 2021 tersebut kalah di Dewan Rakyat. Kilang dan industri berjalan. Bank- bank beroperasi seperti biasa. Pelabuhan-pelabuhan seluruh negara tidak ditutup.Rakyat bekerja walaupun setengahnya dari rumah kerana PKPB atau PKPD. Pejabat-pejabat kerajaan masih menjalankan tugas seperti lazimnya, mungkin mengikut SOP dan norma baharu.Begitu juga ketenteraman awam tidak terancam. Polis dan Tentera siap sedia.Rakyat tidak ada yang berdemonstrasi atau merusuh sekarang.Semuanya akur ikut SOP dan berdisiplin. Jadi tidak ada asas untuk isytihar darurat.

S. 6: Jika Belanjawan 2021 tidak diluluskan di Dewan Rakyat bolehkah Muhyiddin Yassin menghadap Yang Di-Pertuan Agong supaya dibubarkan Parlimen dan Pilihanraya Umum diadakan?

J. : Perdana Menteri yang kalah di Dewan Rakyat kerana Belanjawan Kerajaannya ditolak oleh ahli-ahli Parlimen sudah hilang kedudukan atau locus standi untuk bertindak sebagai seorang Perdana Menteri yang sah untuk menasihati Yang Di-Pertuan Agong supaya membubarkan Parlimen dan mengadakan Pilihanraya Umum.

S. 7: Kalau semua langkah Perdana Menteri yang kalah Belanjawannya di Dewan Rakyat tersekat kerana halangan undang-undang Perlembagaan dan konvensyen Perlembagaan, jadi apa yang Tan Sri Muhyiddin Yassin wajar lakukan sekiranya senario yang digambarkan itu benar-benar berlaku?

J. : Yang Berhormat Ahli Parlimen Pagoh itu tiada pilihan lain. Beliau perlu meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

S. 8: Apa jadi jika Perdana Menteri meletakkan jawatan?

J. : Semua Menteri kabinet juga secara otomatik gugur dari jawatan dan Kerajaan PN ikut sama tumbang.

S.9: Jika senario ini benar-benar berlaku pada Khamis 26 November ini. Apa jalan penyelesaiannya?

J. : Yang Di-Pertuan Agong akan melantik seorang Perdana Menteri Baharu. Sebuah Kabinet dengan Jemaah Menteri akan terbentuk dan sebuah Kerajaan baharu akan ditubuhkan.

S.10: Apakah tugas utama kerajaan baharu itu?

J. : Perdana Menteri yang baharu perlu segera menghadap Yang Di-Pertuan Agong untuk menasihati Baginda supaya sidang khas Parlimen dipanggil seawal bulan Disember 2020 ini untuk meluluskan Belanjawan Negara di bawah Perkara 102 Perlembagaan Persekutuan. Perkara 102 (a) Perlembagaan Persekutuan itu membenarkan melalui undang-undang perbelanjaan bagi sebahagian tahun 2021 sebelum lulus Rang Undang-Undang Perbekalan tahun 2021 tersebut.

S. 11: Mengapa perkara ini perlu?

J. : Supaya Kerajaan baharu ada peruntukan wang untuk membayar gaji atau emolumen kakitangan awam, ada wang untuk membayar frontliners dan ada wang untuk operasi kerajaan.

S.12: Adakah situasi perbelanjaan bagi sebahagian tahun ini pernah berlaku?

J. : Ada. Pernah berlaku. Pilihanraya Umum Malaysia tahun 1999 telah diadakan sebaik sahaja Belanjawan dibentangkan di Dewan Rakyat pada bulan November. Sebelum Belanjawan itu diluluskan, Parlimen telah dibubarkan dan Pilihanraya Umum tahun 1999 diadakan.Kerajaan baharu yang dibentuk selepas itu telah menggunakan peruntukkan Perkara 102 Perlembagaan Persekutuan untuk menguruskan operasi kerajaan dan membayar gaji kakitangan awam.

s.13 : Apakah yang rakyat Malaysia perlu faham tentang situasi kemungkinan Belanjawan Kerajaan PN ditolak oleh ahli-ahli parlimen di Dewan Rakyat pada 26hb November ini?

J. : Rakyat perlu tenang. Jangan ada kegentaran. Tidak perlu panik dan takut. Negara Malaysia kita ini berjalan secara hukum. Kita mengamalkan prinsip kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan yang terpahat sebagai prinsip-prinsip Rukun Negara. Perlembagaan Negara kita akan menjadi kompas perundangan dalam situasi negara menghadapi kemelut politik seperti sekarang ini.

Sekian.

Hassan Abdul Karim

Ahli Parlimen Pasir Gudang

Selasa 17 November 2020.




No comments: